Menurutnya dalam satu kenyataan, tindakannya itu dibuat seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman selain mahu menjadi pembangkang yang menegur kerajaan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.
Utusan Malaysia berusaha menghubungi beliau bagi mendapatkan pengesahan lanjut tetapi gagal namun menurut seorang pegawai khas Mas Ermieyati ketika dihubungi memaklumkan, beliau bercuti selama seminggu.
Berikut kenyataan penuh beliau:-
1. Saya menyertai UMNO kerana ia adalah satu-satunya parti yang diharapkan oleh orang-orang Melayu sebagai landasan dan pentas untuk mereka berjuang membela agama bangsa dan negara secara harmoni bersama bangsa-bangsa yang lain.
2. 30 Jun 2018 adalah tarikh di mana semua ahli UMNO menentukan halatuju baru. Di sini kita dapat menilai reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli UMNO yang masih dalam sindrom penafian.
3. Harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70% muka baru yang berwibawa di pelbagai peringkat tidak kesampaian.
4. Saya turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO, sebaliknya mereka beranggapan UMNO hanyalah mangsa kebencian rakyat kepada Dato Seri Najib semata-mata. Skandal 1MDB telah membuatkan rakyat Malaysia mempersendakan UMNO.
5. Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?
6. Ikhlas saya katakan UMNO kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri.
7. Justeru, setelah memikirkan secara serius dan tuntas, tibalah masanya untuk saya melangkah ke hadapan dengan memfokuskan khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, berbahas dan berhujah di parlimen demi menjaga hal ehwal kebajikan dan pembangunan yang sewajarnya untuk dinikmati oleh para pengundi saya dan menyuarakan hak-hak rakyat Masjid Tanah seadanya, melindungi hak-hak rakyat Malaysia serata sebagai ahli dewan yang efektif serta menjadi AHLI DEWAN RAKYAT YANG BEBAS melangkaui sempadan keterbatasan sebagai ahli mana-mana parti yang pastinya mengikat di sana sini.
8. Oleh yang demikian, bermula 1 Julai 2018 dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti UMNO bersama-sama dengan pengikut setia saya dan saya akan menjadi AHLI PARLIMEN BEBAS bagi maksud yang telah dinyatakan iaitu untuk menjadi ahli parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak Kerajaan sebagai “Check and balance” atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan PH tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti. “Power corrupts and absolute power corrupts absolutely” dan berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh Parlimen yang efektif.-UTUSAN ONLINE