KUANTAN: Jabatan Imigresen berikrar untuk “memerdekakan” negara daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula 31 Ogos depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya akan mempergiatkan operasi menahan PATI mulai tengah malam pada tarikh tersebut.
Beliau berkata PATI yang ditangkap termasuk majikan terbabit tidak akan diberi “muka” dan perlu berhadapan tindakan undang-undang kerana Imigresen sudah memberi peluang secukupnya kepada mereka.
“Kita memulakan Program Serah Diri Sukarela yang dikenali sebagai 3+1 untuk pendatang asing tampil membayar denda dan diusir pulang ke negara asal.
“Jadi mereka masih berpeluang menyerah diri sehingga 30 Ogos sebelum kita mengambil pendekatan lebih tegas,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Mega di 2 tapak pembinaan di Jalan Gambang, semalam.
Mustafar berkata setakat ini, Op Mega yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Julai lalu telah menahan lebih 3,000 PATI atas pelbagai kesalahan.
Selain kesalahan tidak mempunyai permit bekerja yang sah, beliau berkata ada antara mereka mempunyai permit kerja dengan majikan berbeza kerana melarikan diri daripada majikan asal.
Mengulas mengenai operasi di Jalan Gambang itu, Mustafar memaklumkan 84 pendatang asing itu berumur dalam lingkungan 4 hingga 60 tahun, dan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh serta Myanmar.
Mustafar berkata pihaknya juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat membantu Imigresen dalam soal berkaitan penempatan pendatang asing, yang disifatkan tidak kondusif dalam soal kebersihan.
“Penempatan mereka kebanyakannya dibina dalam keadaan tidak mempunyai sistem pembuangan sampah teratur, sistem saliran dan tandas yang tidak baik, serta berisiko penularan penyakit.
“Sedangkan isu berkaitan kesihatan merupakan keutamaan negara sehingga mana-mana warga asing yang mahu bekerja di negara ini perlu mematuhi semua syarat kesihatan sebelum diberikan permit,” katanya.
Mustafar berkata kewujudan penempatan haram pendatang asing itu juga boleh menimbulkan keresahan terhadap warga tempatan, terutamanya yang dibina berhampiran kawasan perumahan.
Datuk Mustafar tidak menjelaskan adakah Jabatan Imigresen turut melakukan operasi Ops Mega di bandar seperti Kota Kinabalu.
Memandangkan Sabah bakal memberi dokumen kepada pekerja asing adalah baik Ops Mega ini dibuat di Sabah dahulu.