Protes 'Darau Bantah' tolak Penempatan Setinggan Ahli Parlimen Sepanggar
21:07 Jul 29, 2018  |  By SabahKini2
Protes 'Darau Bantah' tolak Penempatan Setinggan Ahli Parlimen Sepanggar

#DarauBantah: Tidak cukup bantahan dari media sosial kini penduduk Kg Darau bangkit protes demontrasi menolak keras cadangan Azis Jamman Ahli Parlimen Sepanggar. Mereka tidak mahu tanah mereka diambil untuk penempatan transit.

KOTA KINABALU: Penduduk Kg Darau di Sepanggar menentang rancangan penempatan baru untuk membina rumah transit hampir 700 orang mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas baru-baru ini.

Seramai 250 orang dari Kampung Darau berkumpul membantah rancangan mengambil 16 ekar tanah untuk tujuan itu sebagaimana diumumkan oleh Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman. Turut hadir demonstrasi itu Ketua Kampung Darau.

Pada 24 Julai Azis dalam ucapannya mengumumkan akan melawat kawasan tapak kekal yang telah digazetkan untuk mangsa kebakaran yang disorak penuh gembira oleh keluarga mangsa dan penduduk Kg Cenderamata Dua.

Bagaimanapun pengumuman Azis itu dikecam keras oleh penduduk Kg Darau sehingga Azis mengubah kenyataannya sebagai ‘penempatan transit’.

"Kami menolak cadangan itu habis-habisan. Tanah ini adalah tanah yang disediakan untuk orang kampung kami. Penduduk kampung asal juga memerlukan tanah itu memandangkan penduduk kampung semakin meningkat”. kata jurucakap mereka, Ashin Jamat.

Ashin berkata penduduk kampung bersimpati dengan nasib mereka tetapi tidak dapat menerima orang luar tinggal di tanah mereka. 

"Mereka tidak menjaga sensitiviti dan perasaan penduduk kampung ketika Ahli Parlimen membuat pengumuman," katanya sambil menambah bahawa penduduk kampung tidak pernah dibawa berunding mengenai perkara itu.

Beliau berkata penduduk kampung bimbang jika penyelesaian penempatan transit itu menjadi sebaliknya dan mereka kekal di tanah itu.

"Terdapat stigma dengan perkataan ‘transit’ kerana kita telah melihat tempat-tempat lain yang sebelum ini dicadangkan sebagai sementara kini menjadi penempatan tetap apabila sebelum ini menggunakan istilah transit” kata Ashin, sambil menambahkan bahawa kawasan tersebut boleh memuatkan kira-kira 600 rumah baru dengan mudah.

Sementara itu bekas Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris yang pro Warisan turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya berhubung penempatan itu memandangkan tapak yang dicadangkan dinamakan Kg Bahagia itu senarai namanya telah dipilih lebih awal untuk penduduk Kg Darau.

“Saya ke sana tadi dan bertanya isu sebenarnya. Memang tapak yang dicadangkan ini saya yang urus dengan Pengarah Tanah dahulu iaitu Datuk Osman Jamal. Kami namakan Kg Bahagia bersebelahan Darau dan Kg Rampayan. Di Sebelah Sungai pula Kg Selamat.

“Sebenarnya tanah ini sudah ada senarai nama pemohon asal sebelum di wartakan. Justeru tidak patut dijadikan penempatan transit’. katanya dalam facebook.

Tinjauan Sabahkini2 dalam media sosial 90 peratus menentang cadangan Kerajaan Warisan berhubung penempatan transit di Kg Darau itu. Jika Ketua Menteri dan Ahli Parlimen tidak menanganinya dengan baik boleh mengundang masalah kerana melibatkan api perkauman.

 

 

5 Comments