Perjanjian Malaysia 1963, Demi hak Sabah dan Sarawak -Anifah Aman
23:08 Aug 04, 2018  |  By SabahKini2
Perjanjian Malaysia 1963, Demi hak Sabah dan Sarawak -Anifah Aman

MA63 adalah dokumen penting untuk orang Sabah dan Sarawak yang perlu dihormati dan dilaksanakan. MA63 merupakan satu perjanjian atau dengan izin “international treaty” yang didaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

  • Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di–Pertuan Agong Ke–15, Sultan Muhammad Ke–5 sewaktu Majlis Pembukaan Parlimen Ke–14 pada hari Selasa, 17 Julai 2018 yang lalu dan saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam perbahasan usul menjujung kasih titah ucapan tuanku pada hari ini.
  • Saya juga ingin mengucapkan tahniah  kepada YB Dato di atas perlantikan sebagai Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat serta syabaskepada semua Ahli–Ahli Yang Berhormat kerana berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat.
  1. MA63 PERJANJIAN PENTING BAGI RAKYAT SABAH DAN SARAWAK

Tuan Yang Di–Pertua,

  • Saya ingin memulakan ucapan saya kepada Isu Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.
  • Sebagaimana yang kita sedia maklum khususnya bagi rakyat di Negeri Sabah dan Sarawak, bahawa pada masa ini, isu  mengenai Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 hangat diperkatakan.  Sebagai wakil dari Sabah, Negeri Di Bawah Bayu, MA63 adalah dokumen dan dasar penting untuk orang Sabah dan Sarawak yang perlu dihormati dan dilaksanakan. Ini kerana MA63 merupakan satu perjanjian atau dengan izin “international treaty” yang didaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diiktiraf di bawah Vienna Convention on the Law of Treaties 1969.
  • MA63 sebagai satu perjanjian antarbangsa tidak boleh dipinda atau diubahsuai tanpa persetujuan semua pihak penandatangannya yang termasuk Kerajaan British dan Singapura dan harus dilaksanakan dengan sepenuhnya mengikut surat, niat dan semangatnya.
  • Sehubungan dengan itu, saya juga ingin mendapat kepastian dari  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang dikatakan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, apakah langkah-langkah yang akan diambil dan bilakah status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi samataraf dengan Malaya akan dikembalikan?

 

  1. PERUNTUKAN KEWANGAN UNTUK SABAH DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

 

Tuan Yang Di–Pertua,

  • Kerajaan sebelum ini telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk membincang dan melaksanakan pembayaran peruntukan kewangan dan hasil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta penurunan kuasa (devolution of powers) dan autonomi kepada Sabah dan Sarawak.  Untuk Sarawak, mantan YAB Perdana Menteri telah bersetuju 13 bidangkuasa yang dipersetujui diturunkan kepada Negeri Sarawak.  Akan tetapi akibat penukaran Kerajaan Persekutuan selepas PRU-14, pembayaran peruntukan kewangan dan hasil tersebut serta penurunan kuasa  tidak dapat dilaksanakan lagi.
  • Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima pemberian khas (Special Grant) dan hasil kewangan tambahan seperti berikut:-
  • 40% Hasil Bersih yang diperolehi oleh Persekutuan dibawah Artikel 112C dan Item 2(b) Bahagian IV, Jadual Ke-10;

(2) Duti impot dan eksais keatas produk petroleum yang diimpot ke Sabah dibawah Artikel 112C dan Item 1 Bahagian V, Jadual Ke-10;

(3) 10% Duti ekspot keatas minyak dan gas dari Sabah sebagai mengganti bayaran royalty sehingga 10% nilai ad valorem dan memandangkan royalty tidak pernah dibenarkan dikutip oleh Kerajaan Sabah maka 10% duti ekspot tersebut harus dibayar kepada Kerajaan Sabah dibawah Artikel 112C dan Item 3 Bahagian V, Jadual Ke-10.

  • Memandangkan bahawa peruntukkan kewangan tersebut adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, saya ingin mendapat penjelasan dari  YB Menteri Kewangan bilakah Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembayaran peruntukkan-peruntukkan kewangan tersebut iaitu 40% Hasil Bersih yang diperolehi dari Sabah, impot dan eksais duti keatas produk petroleum dan 10% duti ekspot keatas minyak dan gas mengganti royalti.

Tuan Yang Di-Pertua, 

  • Kerajaan Sabah juga telah menerima cukai jualan dibawah sistem cukai SST dulu dibawah Artikel 95B (3) Perlembagaan Persekutuan.   Memandangkan sistem GST telah mengganti SST pada 1hb April 2015 sehingga ianya dimansuhkan pada 1hb Jun 2018, segala kutipan GST yang dipungut di Sabah harus dikembalikan kepada Kerajaan Sabah.  
  • Oleh yang demikian, saya ingin  mendapat penjelasan dari YB Menteri Kewangan bilakah Kerajaan Persekutuan akan membayarbalik segala kutipan GST yang dipungut di Negeri Sabah?

 

  1. ROYALTI MINYAK SEBANYAK 20%

Tuan Yang Di–Pertua,

  • Baru-baru ini timbulnya kekeliruan mengenai pembayaran royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak akibat penukaran cara pengiraan royalti tersebut.  Dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk menarik penggundi pada PRU-14, Pakatan Harapan telah berjanji menaikkan royalti minyak dari 5% royalti kepada 20% royalti.   Ianya tidak dinyatakan 20% royalti tersebut adalah berdasarkan keuntungan dan adalah jelas bahawa janji Manifesto melibatkan kenaikan daripada 5% kepada 20%.
  • Pada awal sidang Parlimen ini, YAB Perdana Menteri dan yang lain telah mengesahkan bahawa 20% royalti tersebut adalah berdasarkan royalti yang kebiasaan definasinya adalah berdasarkan jumlah pengeluaran kasar. Akan tetapi semasa menjawab soalan tambahan, YAB Perdana Menteri telah mengubah cara pengiraan 20% royalti tersebut kepada berasaskan keuntungan. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakyat daripada negeri-negeri pengeluar minyak.
  • Asas pengiraan 20% royalti mengikut keuntungan telah dikesahkan oleh YB Menteri Ekonomi dalam jawapannya dalam Dewan mulia ini dan ditambah bahawa bayaran royalti berasaskan pengeluaran kasar akan memberi kesan negatif kepada Petronas dan negara. YB Menteri Ekonomi menambah lagi bahawa pembayaran berdasarkan 20% keuntungan perlu masa lagi untuk dilaksanakan sebab pembayaran 20% keuntungan tersebut memerlukan pindaan Petroleum Development Act, 1974.  
  • Sambil memutuskan pembayaran 20% royalti minyak, saya juga ingin meminta Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyemak, meneliti dan mengkaji kesahihan Petroleum Development Act 1974, Perintah Penyerahanhak (Vesting Order) yang ditandatangani oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada 27hb Mac 1975 yang menyerah hak minyak dan gas di Malaysia termasuk Sabah kepada Petronas dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan hakmilik minyak dan gas Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak masing-masing dan kepada rakyat mereka.
  • Akta Pelantar Benua 1966 atau Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak boleh dikuatkuasakan di perairan Sabah dan Sarawak. Sempadan perairan wilayah telah ditentukan oleh Mahkota British melalui Perintah dalam Majlis (Order in Council) sejak tahun 1954.Selanjutnya, Akta Wilayah Laut 2012 yang digubal untuk menggantikan Akta Pelantar Benua, Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Ordinan No.7 1969 tidak seharusnya dikuatkuasakan berkenaan perairan Sabah dan Sarawak kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana Akta tersebut telah menukar sempadan Sabah yang telah termaktub dalam Fasal 1(3) Perlembagaan Persekutuan. Apa-apa penukaran sempadan Sabah perlu diterimapakai oleh Dewan Undangan Negeri Sabah di bawah Fasal 2 Perlembagaan dan ini tidak dibuat. Oleh yang demikian Akta Wilayah Laut 2012 hanya adalah undang-undang di atas kertas, dan bukannya sah di bawah undang-undang Malaysia.

 

  1. HARGA KOMODITI KELAPA SAWIT DAN GETAH
  • Seterusnya saya ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini  terhadap kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah yang  telah menjejas kehidupan rakyat jelata.
  • Akibat kejatuhan ini, ramai warga tani terkesan. Dari anggaran yang saya terima, industri kelapa sawit melibatkan sekurang-kurangnya 800,000 pekebun kecil dan bagi industri getah pula melibatkan 600,000 penoreh getah di seluruh negara.
  • Sehubungan dengan itu, selain daripada mengekalkan pasaran-pasaran lama seperti Negara China dan India dan membuka pasaran baru serta mempromosikan dan mempelbagaikan produk-produk, apakah langkah-langkah seterusnya yang akan diambil oleh pihak Kerajaan bagi menangani masalah serta membela nasib mereka?

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Sebagai mantan Menteri Luar Negeri, saya ingin menyarankan bahawa hubungan dua hala dengan Negara China bukan sahaja penting dari aspek perdagangan tetapi juga dari aspek keselamatan terutama di rantau Asia. Isu Laut China Selatan adalah kompleks dan sensitif. Oleh itu ia harus ditanganani secara tegas dan bijak. Pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan adalah tegas dan konsisten, di mana tuntutan bertindih ini hendaklah diselesaikan melalui undang-undang antarabangsa dan  UNCLOS 1982, United Nation Conventation Law of The Sea.  Begitu juga mengenai isu tuntutan Filipina terhadap Negeri Sabah, ia tidak pernah kita iktirafkan.
  1. JANGAN “JANJI TERANG BULAN”

 

Tuan Yang Di–Pertua,

  • Saya juga bersetuju dengan apa yang telah diucapkan oleh Ahli Yang Berhormat Keningau dalam ucapan perbahasan beliau pada minggu lepas dan bersetuju supaya janji-janji itu menjadi janji terang bulan.
  1. PENUTUP

Tuan Yang Di–Pertua,

  • Buat mengakhiri ucapan, saya ingin berpesan bahawa untuk memberi ceramah sambil menghiburkan para pendengar adalah sesuatu yang mudah. Membuat tuduhan itu lebih mudah. Menabur janji dan memberi harapan kepada pengundi juga mudah. Lebih mudah jika hanya mengarah penjawat awam dan menyalahkan pelbagai pihak jika hasil yang di harap tidak kesampaian.  Mengambil jalan yang mudah tidak akan memberi apa-apa  kebaikan kepada negara, malah jauh sekali untuk kesejahteraan rakyat jelata.
  • Rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara, untuk itu jalankanlah amanah yang di beri demi kesejahteraan rakyat dan negara keseluruhannya. Sekian, terima kasih.
Comment