PUTRAJAYA: Tan Sri Musa Aman dilihat keluar dari bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada jam 2.10 petang dipercayai selepas memberikan keterangan berhubung cubaan menyogok Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sejurus selepas pilihan raya umum ke-14 Mei lalu.
Beliau berada di situ selama lebih 2 jam setengah bagi memberi keterangan kepada SPRM.
Musa dilihat menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna perak dipercayai bersama-sama dengan peguamnya.
Turut mengiringi kereta tersebut, 2 buah kenderaan berwarna putih dan hitam mendahului kereta yang dinaikinya.
Pagi tadi, Musa hadir ke bangunan SPRM menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam diikuti kenderaan serupa berwarna putih milik peguamnya.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengambil keterangan bekas Ketua Menteri Sabah itu berhubung dakwaan rasuah pada PRU-14.