14 Tempat 'makan wajib' di Kota Kinabalu
07:09 Sep 25, 2018  |  By SabahKini2
14 Tempat 'makan wajib' di Kota Kinabalu

Jika anda datang ke Kota Kinabalu Sabah. Inilah 14 tempat wajib yang perlu datangi dan makan sepuasnya. Tak percaya sila cuba

Jika anda mahu ke Sabah pada musim cuti atau bagi tujuan kerja sambil singgah makan. Kita kongsikan 14 tempat makan menarik yang kita boleh kata "makan wajib" di Kota Kinabalu. Tak cuba rugi kenangan manis bab makan. 

1. Kampung Nelayan Floating Seafood Market Restaurant

Alamat: Taman Tun Fuad, Bukit Padang, P.O Box 23004, 88790 Luyang

Waktu Operasi: Setiap hari (730am – 2pm, 630pm – 11pm)

Restorannya mengambil rekabentuk Minangkabau dan terletak di atas tasik taman botani. A+ untuk suasananya.

Kampung Nelayan juga merupakan satu-satunya restoran yang mempersembahkan tarian tradisional pada setiap malam bermula jam 745 malam sehingga 845 malam. Jadi, ia amat sesuai dan sentiasa menjadi tarikan kepada pelancong.

Menu restoran terdiri daripada lima bahagian iaitu ala-carte, sup, nasi dan mee, daging, dan pencuci mulut. Bagi pelanggan, Kampung Nelayan adalah syurga makanan laut yang anda mesti cuba.

2. Restoran Masakan Sedap

Alamat: No. 1-0-1, Block B, Lot 20, Kolam Centre Fasa 2, Jalan Lintas, 88300 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (12am – 12pm, 5pm – 12am)

Kepada umat Islam, anda tidak perlu risau jika mahu makan di sini walaupun ia diusahakan oleh seorang yang berbangsa Cina dan bukan Islam.

Ini kerana restoran makanan laut ini telah mendapat sijil halal dari JAKIM. Jadi, anda akan dapat melihat ramai umat Islam menjamu selera bersama anda. Banyak makanan yang disukai pelanggan.

Antaranya Soft Shell Crab, Claypot Fish Head, Siput Tarik, Honey Lamb, Ikan Kukus dan banyak lagi. Ramai pelanggan merasakan yang harganya agak mahal tapi mengakui kualiti hidangannya boleh mencapai 4 bintang.

3. Steamboat Bakar Kota Kinabalu

Alamat: Taman Mat Salleh Phase 2, 88200 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (530pm – 11pm)

Ini merupakan restoran steamboat yang digemari ramai di Kota Kinabalu. Anda ada banyak pilihan daging dan makanan laut di sini. Semuanya segar dan harganya juga murah. Jadi, tidak perlu risau jika anda datang beramai-ramai. Restorannya ringkas, bersih dan santai. Tapi, tidak ramai yang menyebut mengenai hal ini melainkan makanannya yang sedap dan kesesuaiannya sebagai lokasi makan bersama keluarga. Mereka turut menyediakan ais-krim, laksa dan cendol sebagai pencuci mulut. Bagi yang beragama Islam, ada surau disediakan untuk menunaikan solat.

4. Warung Pokdi Kelate

Alamat: Sulaman Sentral, Sepanggar, 88450 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10am – 9pm)

Warung Pokdi Kelate terletak berhampiran One Superstore dan bersebelahan dengan Farmasi Cosway.

Mereka menghidangkan masakan semenanjung seperti Nasi Campur, Nasi Lemak, Nasi Berlauk, Nasi Kak Wok, Nasi Gulai Ikan, Nasi Dagang, Nasi Kerabu, dan Laksa Penang. Selain itu, turut ada dalam menu ialah Roti Canai Cheese, Maggi Goreng dan Kerang Cheese. Persekitarannya agak bising terutama kerana lokasinya yang berdekatan dengan tempat-tempat yang sibuk.

5. Lava KK Burger Bakar

Alamat: 88, Market Place Austral, Kepayan, Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (11am – 11pm), ditutup pada hari Isnin

Lava KK adalah burger bakar pertama di Sabah yang ditubuhkan sejak tahun 2012. Mereka menggunakan 100 peratus daging tulen dengan bahan segar bagi memastikan burger dibuat dengan kualiti terbaik.

Rata-rata pengunjung bersetuju yang pencinta burger perlu datang ke sini untuk mencuba dan memberi ulasan masing-masing. Selain burger, anda juga boleh mencuba Chicken Chop, Meatball, Fish and Chip serta Grill Chicken. Suasana restoran kemas, bersih dan selesa dengan harga yang berpatutan.

6. D’Place Kinabalu

Alamat: Lot 2.01 & 2.02, Tingkat 2, Plaza Shell, Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Isnin (6pm – 10pm),Selasa (11am – 4pm, 6pm – 10pm),Rabu – Jumaat (11am – 4pm, 6pm – 930pm), Sabtu – Ahad (1130am – 10pm)

Cuba makan makanan etnik Kadazan Dusun di sini untuk merasai pengalaman yang dekat dengan Sabah. Restorannya yang luas dan berhawa dingin amat mendamaikan dengan gabungan buluh dalam hiasan dalamannya.

Antara menu terkenal mereka ialah ulat sago atau butod. Walaupun ia terlalu eksotik bagi sesetengah orang, ramai yang mengesyorkan untuk anda mencubanya. Jika anda masih baru dengan makanan Kadazan Dusun dan kurang pasti dengan menu, cuba dapatkan bantuan pelayan untuk membantu anda. Restoran D’ Place juga memperkenalkan budaya mereka dengan persembahan tarian di restoran mereka. Oleh itu, jika anda membawa rakan-rakan yang bukan berasal dari Sabah, ini pasti mengujakan mereka.

7. Warung Bandung

Alamat: Lot 4, Block C, Lintas Jaya Fasa 1, Penampang, 88300 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 1030pm)

Nasi Ayam Penyet dan Ayam Panggang Berlado adalah sebahagian menu di Warung Bandung. Ya, Warung Bandung ialah restoran masakan Indonesia. Ia dikatakan restoran yang menghidangkan Nasi Ayam Penyet paling sedap di Kota Kinabalu. Sambalnya pedas tetapi serasi dengan citarasa rakyat Malaysia. Jadi, pada waktu puncak seperti pada waktu tengah hari, ia dipenuhi dengan pelanggan dan anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama sebelum mendapat hidangan anda.

8. Borenos Fried Chicken

Alamat: Lot G23, Ground Floor, Star City North Complex, Jalan Asia City, 88000 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari selama 24 jam

Suka makan ayam goreng? Menunya pasti akan mengingatkan anda kepada jenama terkenal KFC. Tapi ramai pelanggan berpendapat yang Borenos Fried Chicken mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding KFC.

Di luarnya rangup dan dalamnya lembut. Mereka juga ada burger jika anda mahu menambah hidangan. Paling menarik kerana ia dibuka selama 24 jam setiap hari. Jadi, anda boleh datang dan makan pada bila-bila masa anda mahu. Penghantaran di sekitar Kota Kinabalu turut disediakan.

9. Mashawi Grill’s Nasi Arab

Alamat: Bandar Sepanggar 1, 88400 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Khamis – Selasa (11am – 1030pm), ditutup pada hari Rabu

Letaknya bersebelahan dengan Hotel Tang Dynasty Bay. Restoran ini khas buat mereka yang mahukan makanan Arab. Makanannya sedap, dihidangkan panas, kurang berminyak dan dalam kuantiti yang banyak. Sepertimana menu di restoran-restoran di Malaysia, mereka juga ada Mandi Chicken/Lamb, Kabsah, Kebab dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda, Mashawi’s Grill merupakan satu-satunya restoran makanan Arab di Sabah. Hiasan dalamannya tidak menampakkan gaya Timur Tengah tetapi cukup selesa untuk menjamu selera.

10. Brunei Satay House

Alamat: Taman Indah Permai, Jalan Sepanggar – Menggatal, 88450 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (11am – 10pm), Jumaat (130pm – 1030pm)

Dapatkan rasa masakan Melayu Brunei di Brunei Satay House. Satenya lembut dan kuah kacangnya cukup sedap. Pilih sama ada sate ayam, daging, kambing, dan perut.

Tidak banyak yang dikatakan mengenainya melainkan satenya yang sedap dan terbaik di Kota Kinabalu. Selain sate, mereka juga ada makanan tradisional Brunei seperti Kelupis, Kouchung, Ikan Ampap, Ambuyat, Nasi Goreng Pulau Brunei, dan banyak lagi.

Restoran ini dimiliki oleh AG Shahril AG Ali dan pernah tersenarai dalam Malaysia Delicious 100 Halal and Muslim Friendly Food. Restorannya tidaklah begitu luas, malah tiada penghawa dingin. Tetapi ia cukup selesa untuk makan di sini.

11. Restoran D’Soka

Alamat: KM 17, Papar Highway, Kampung Laut Kinarut, 89600 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (1030am – 11pm)

Restoran D’Soka menawarkan masakan asli Sabah. Jadi, ia amat sesuai kepada mereka yang datang dari luar Sabah dan ingin mencuba masakan Sabah.

Antara yang ada dalam menu ialah Ambuyat, Gulai Ikan, Kerabu Kerang, Sambal Ikan Masin, Sup Tulang, Daging Hitam Manis, dan juga minuman terkenal mereka iaitu Coconut Shake. Restorannya cukup selesa untuk menjamu selera, makanan gaya kampung yang lazat dan harganya juga berpatutan.

12. Gayang Seafood Restoran

Antara Restoran Seafood yang terkenal di Sabah adalah Restoran ini. Terletak di Salut Tuaran iaitu lebih kurang 33KM dari bandar Kota Kinabalu. Antara makanan kegemaran seperti Udang Steam, Lobster Masak Butter, Ketam Masak Kam Heong, Soft Shell Crab, Sup Isi Ketam, dan banyak lagi.

15. D'Lengkuas 

D’lengkuas merupakan restoran yang diusahakan oleh anak jati Kelantan yang menetap di Sabah. Makanan kampung ala Kelantan dihidangkan di restoran ini pasti membuka selera sesiapa sahaja yang datang ke Kota Kinabalu. Bagi warga Semenanjung yang rindukan tempat asal mereka tetapi mahu makan di Sabah inilah tempatnya.

Mencari makanan ala kampung di bandar Kota Kinabalu memang sukar tetapi D’Lengkuas merupakan pilihan yang tepat. 

Antara menu yang menarik ialah nasi campur pelbagai lauk, nasi kerabu, laksa dan kuih muih yang akan membuka selera pengunjung yang datang. Harga juga berpatutan dengan makanan yang diambil.  Alamat :  Lot 36, Grace Square Sembulan, Grace Villa, 88100 Kinabalu, Sabah, Malaysia

 

14. Todak Waterfront Seafood Market

 

Tiada makanan lain yang menjadi sebutan di Sabah jika bukan makanan laut. Oleh itu makan malam anda pasti lebih puas di Todak Waterfront. Pilih saja gerai yang anda mahu. Lokasi tempat makan ini sebaris dengan pasar Filipina, cuma terus ke depan sikit.

Kawasan ini memang meriah dan aktif pada waktu malam. Bagi sesiapa yang tercari-cari makanan seafood yang fresh lagi murah berbanding di Restoran Seafood di sini lah tempatnya. Jangan lupa untuk cuba lobster, ikan merah, sotong, udang, seaweed, latok dan sambal belacan di sini. Pasti mengaum

 

40 Comments