Shafie Apdal tiada halangan dan akur dengan cadangan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Mahathir mengenai cadangan Kerajaan PH melaksanakan projek Loji Janakuasa Arang Batu di Pantai Timur Sabah.Apakah Maliau Basin jadi mangsa?
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiada halangan dan akur dengan cadangan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai cadangan kerajaan pusat melaksanakan projek Loji Janakuasa Arang Batu di Pantai Timur Sabah.
Kerajaan negeri akan membuat kajian secara menyeluruh terlebih dahulu cadangan ini bagi memastikan ia tidak memberi kemudaratan kepada alam sekitar.
“Kita sambut baik cadangan ini kerana Sabah adalah negeri yang jauh ketinggalan dari segi keupayaan membekalkan tenaga, selain kita menghadapi masalah bekalan air dan elektrik serta kadar tarif yang agak kompetitif.
“Kita akan lihat bagaimana kita mahu menggunakan arang batu supaya ia tidak memberi kesan kepada alam sekitar atau sebaliknya,” katanya
Menurut Shafie, kajian menyeluruh adalah untuk memastikan kerajaan negeri dapat mengenalpasti potensi arang batu yang dikatakan empat kali ganda jauh lebih murah berbanding sumber tenaga lain.
“Cadangan ini juga dilihat sebagai satu hala tuju yang baik yang dapat memberi manfaat kepada Sabah serta melahirkan keupayaan kita membekalkan tenaga kuasa yang sedia ada dan jauh lebih murah.
“Sebagai contoh, Singapura hari ini menggunakan tenaga arang batu tetapi teknologi mereka gunakan cukup tinggi. Kalau mereka (Singapura) dapat lakukannya, kita cuba meneliti teliti dan fokus, kita pasti akan dapat laksanakannya sebaik yang mungkin,” katanya.
Sebelum ini Parti DAP Sabah dibawah Stephen Wong sejak 2008 menentang Loji jana elektrik arang batu di Sabah. Di bawah Kerajaan BN beberapa kali cadangan projek ini dibatalkan. Namun kini dibawah Kerajaan Warisan dan DAP nampaknya projek ini bakal dihidupkan semula atas cadangan Dr Mahathir. Apakah DAP akan menentangnya atau akur dengan Dr Mahathir juga?
Desas-desus jika projek arang batu ini dihidupkan semula bermakna Lembah Maliau Basin khazanah alam penting negara bakal dikorbankan. Lembah Maliau adalah sumber simpanan arang batu terbesar di negara ini. Ikuti artikel “Maliau Basin: Sabah’s Lost World” Apa akan jadi jika Maliau Basin dikorbankan?
[https://www.thepatriots.asia/maliau-basin-sabahs-lost-world/]
Maliau Basin, Lembangan Maliau atau Maliau Basin Conservation Area (MBCA) adalah kawasan lembangan yang terdiri daripada Sungai Maliau serta hutan tropika liar yang bertempat di daerah Tongod, berdekatan dengan kota Tawau, Sabah. Ia ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan oleh Yayasan Sabah pada tahun 1981. Pada tahun 1997 Sabah State Assembly mewartakan Maliau Basin sebagai Protection Forest Reserve atau Rizab Perlindungan Hutan (Class I) dengan keluasan 588 kilometer persegi.
Maliau Basin dikenali dengan gelaran Sabah’s Lost World kerana bukan sekadar hutan dilindungi malah kawasan seluas 58 ribu hektar yang mempunyai lekukan seperti kawah mempunyai hutan dara yang masih tidak disentuh oleh sesiapa, meliputi Gunung Lotung dengan ketinggian 1,667 meter, Air Terjun Maliau, dan Tasik Linumunsut. Pada tahun 2011, Pusat Kajian Maliau Basin ditubuhkan bagi menggalakkan para naturalis, biologis, dan para pengkaji tempatan dan luar negara bagi mengkaji kepelbagaian flora dan fauna yang misteri.
Walaupun Maliau Basin kini dijadikan sebagai tempat eko-perlancongan, hanya 1/3 saja dapat pelancong menikmati penjelajahan hutan (jungle tracking) dan aktiviti memerhati burung (bird watching). Kawasan selebihnya menjadi tapak kajian para pengkaji. Maliau Basin adalah kawasan konservasi yang mempunyai air terjun terbanyak di Malaysia iaitu 20 buah air terjun mengalir dari Sungai Maliau sehingga Orang Murut menggelarkannya sebagai ‘Tanah Tangga Gergasi’. Antara air terjun terkenal adalah Air Terjun Maliau yang mempunyai 7 tingkat air terjun.
Maliau Basin juga mempunyai Tasik Linumunsut, satu-satunya tasik air tawar terdapat di Sabah. Menurut kepercayaan masyarakat Murut yang menetap di sekitar Maliau Basin, dikatakan bahawa ada seekor naga tinggal di laut tersebut. Menariknya tentang tasik tersebut, ia kaya dengan kepelbagaian fauna dan para pengkaji telah menemui fosil haiwan marin dari 16 – 17 juta tahun dulu di kawasan tasik tersebut.
Terdapat 1,800 spesis flora ditemui pengkaji, termasuk 6 jenis tumbuhan periuk dan lebih 80 spesis bunga orkid. Bunga Rafflesia tengku-adlinii yang jarang tumbuh meliar juga ditemui pada tahun 1988. Pokok tropika yang dominan menghiasi Maliau Basin adalah pokok Agathis.
Terdapat juga hutan pokok dipterokarpa yang tumbuh meliar di tanah rendah dan tinggi kawasan Maliau Basin seperti Urat Mata Berudu (Parashorea tomentella), Seraya Majau (Shorea johorensis), Urat Mata Daun Licin (Prashorea malaanonan),Oba Suluk (Shorea pauciflora), Seraya Daun Mas (Shorea argentiflora), dan Seraya Kuning (Shore sp.). Seraya Kuning adalah pokok tropika tertinggi dalam kalangan pokok tropika lain dan yang paling tinggi di Maliau Basin adalah berketinggian 89.5 meter.
Bagaimana dengan kepelbagaian fauna? Maliau Basin telah lama menjadi rumah kepada haiwan-haiwan yang terancam seperti badak Sumatra, Banteng/Tebadau, Orang Utan, dan monyet belanda (Proboscis Monkey). Terdapat lebih 80 spesis haiwan mamalia seperti Bornean Pygmy Elephant (gajah terkecil dunia), kucing besar bernama Clouded Leopard, dan Malayan Sunbear. Manakala kepelbagaian burung pula terdapat hampir 300 spesis ditemui antaranya Bulwer’s Pheasant dan Bornean Bristlehead yang selalu ditemui, menjadikan Maliau Basin sebagai pusat eko-perlancongan untuk aktiviti pemerhatian burung.
Haiwan Amphibian iaitu keluarga katak dan salamander juga banyak ditemui sebanyak 35 spesis. Terdapat juga sepsis baru ikan, ketam, dan serangga seperti kumbang yang hanya ditemui di Sabah dan tiada di lokasi lain. Pokoknya, Maliau Basin kaya dengan kepelbagaian sepsis haiwan selain menjadi rumah untuk haiwan terancam.
Dengan keunikkan Maliau Basin ini, wajiblah Maliau Basin Conservation Area (MBCA) ditubuhkan bagi mencapai objektif-objektif berikut:
Bagi mematuhi objektif MBCA ini, Yayasan Sabah berhak meluluskan
atau membantah sebarang aktiviti melibatkan kawasan konservasi ini. Kita sebagai rakyat Malaysia yang mengetahui bahawa haiwan atau tumbuhan yang telah pupus dan terancam di negara sendiri kerana keterpaksaan hidup bersama manusia yang dahagakan pembangunan harus mengetahui dan memahami kewujudan dan kepentingannya. I
ni era di mana setiap negara mencari sumber yang boleh dikitar semula terutamanya sumber aloam yang sentiasa hadir di keliling kita, bukan menggalakkan lagi kewujudan sebuah lagi lombong atau perlaksanaan aktiviti pembalakan haram. Yang pasti, kita sebagai penjaga alam harus bangkit mempertahankan hutan, haiwan dan tumbuhan dan kerakusan kerajaan.
RUJUKAN: