Menteri Pelancongan berkata dia menggunakan wang sendiri membeli tiket Kelas Perniagaan walaupun isterinya layak menggunakan peruntukan kementerian. Dia mahu mengambil tindakan undang-undang
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi membuat laporan polis ke atas satu portal yang menuduh beliau menggunakan dana awam untuk perbelanjaan keluarga ketika satu lawatan rasmi ke Singapura.
Selain itu, beliau juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger berkenaan, kata Mohammadin yang bertegas bahawa perjalanan keluarganya dibiaya sendiri.
Bagaimanapun, beliau membuat laporan polis terlebih dahulu kerana mahu mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyiarkan tuduhan tersebut di portal Sabah Kini2.
“Saya tak dapat orang yang sebenarnya, saya tengah mencari sebab itu saya buat polis laporan untuk lakukan siasatan.
“Saya tak mahu guna duit kerajaan. Saya sendiri kalau pergi boleh guna duit sendiri untuk kerajaan, bukan saya guna duit kerajaan.
“Saya sudah buat laporan polis dan kita akan cari yang tukang fitnah ini, dan kita akan nanti kalau dapat kita akan ambil tindakan undang-undang. Saya sendiri pun tak takut benda tidak betul,” katanya.
Malah beliau sedia mendedahkan bukti resit pembayaran tiket tersebut sekiranya perlu, kata ahli Parlimen Silam itu lagi selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Aswara ke-14 di Kuala Lumpur hari ini.
“Siapa hendak (tengok) tiket-tiket yang dibeli itu anak sama isteri. Saya ada resit semuanya, yang dibayar oleh saya. Saya tak pernah guna duit kerajaan untuk kepentingan saya,” katanya.
Portal sabahkini2.com hari ini antara lain memaparkan tulisan dengan tajuk “Lepas joli guna duit rakyat di Singapura, rakaman audio menteri pelancongan melalut pula didedah”.
[ARTIKEL BERKAITAN:- Lepas 'joli' guna duit rakyat di Singapura, rakaman audio Menteri Pelancongan 'melalut' pula didedah ]
Tulisan itU mendakwa Mohamadin menggunakan dana awam bagi tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk isteri dan anak perempuannya.
Ia turut memaparkan gambar Mohammadin dengan rombongannya bersama tajuk “Menteri pelancongan angkut anak isteri kaki shopping guna duit rakyat” dan “Tiket business class bilik hotel mewah, shopping agensi bayarkan”.
[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri Pelancongan angkut anak isteri 'Kaki Shopping' keluar negara guna duit rakyat ]
Portal itu juga memuatkan gambar satu tiket penerbangan kelas perniagaan bertarikh 4 Oktober, berserta gambar isteri dan anak perempuannya.
Dakwaan itu timbul ekoran pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, 12 Oktober lalu bahawa para menteri tidak lagi boleh membawa keluarga dan rombongan mereka bagi lawatan kerja singkat, sebagai langkah jimat cermat kerajaan. - TMI
Berita RTM