Polis Sabah siap siaga kawal rusuhan penyokong Musa dan Mohd. Shafie
KOTA KINABALU - Polis Sabah bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan rusuhan melibatkan pertembungan dua penyokong berikutan keputusan kesahihan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang akan diputuskan pihak pada 25 Oktober ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, risikan polis mendapati pergerakan dua kumpulan antara penyokong bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dijangka akan berkumpul di dua lokasi berasingan.
Menurut Omar, polis akan mengawal ketat pergerakan penyokong di sekitar kawasan Mahkamah Kota Kinabalu di sini dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk menggerakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sekiranya diperlukan.
"Kita mendapat maklumat bahawa akan ada kumpulan tertentu mengadakan perarakan susulan keputusan prosiding mahkamah melibatkan kesahihan jawatan Ketua Menteri Sabah pada 25 Oktober ini.
"Kita tidak mempunya maklumat mengenai anggaran penyokong terlibat. Bagaimanapun, kami menjangkakan ramai yang akan berkumpul selepas prosiding mahkamah itu nanti," katanya.
Polis Sabah mengingatkan penyokong kerajaan dan pembangkang tidak menimbulkan kekecohan sepanjang prosiding mendengar keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu pelantikan ketua menteri Sabah yang sah, Khamis ini.
“Saya nasihatkan mereka jangan menunjukkan perasaan sama ada suka atau tidak dengan keputusan mahkamah. Jadi saya nasihatkan jangan sesekali berarak.
“Selain itu, jangan lakukan perbuatan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman mahkamah seperti membaling (objek), mengeluarkan perkataan provokasi atau insiden tidak diingini atau membawa senjata sehingga polis terpaksa menguatkuasa undang-undang dengan melaksanakan tangkapan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiada permohonan permit daripada mana-mana pihak untuk berhimpun, namun pihaknya sedia menambah pasukan keselamatan bagi mengawal keadaan.
Jun lalu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan ketua menteri.
Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau kekal ketua menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai ketua menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu tidak berperlembagaan dan tidak sah.
3 Comments