Kes Musa cabar pelantikan Mohd Shafie: Suasana kompleks mahkamah terkawal
15:10 Oct 25, 2018  |  By SabahKini2
Kes Musa cabar pelantikan Mohd Shafie: Suasana kompleks mahkamah terkawal

Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar penghujahan lisan yang dijadual berlangsung pada 2.30 petang ini, mengenai tindakan undang-undang oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu pa

KOTA KINABALU- Suasana di sekitar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu setakat ini masih terkawal, namun beberapa penyokong Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  kelihatan mula berkumpul di perkarangan mahkamah.

Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar penghujahan lisan yang dijadual berlangsung pada 2.30 petang ini, mengenai tindakan undang-undang oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mencabar  pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu pada 12 Mei.

Kesemua penyokong terbabit yang turut ingin mendengar penghujahan lisan itu bagaimanapun hanya dibenarkan berdiri di luar kompleks mahkamah dan pengamal media serta petugas mahkamah sahaja dibenarkan masuk ke dalam bangunan berkenaan.

Semua pintu masuk dan jalan utama ke kompleks mahkamah itu dikawal ketat oleh pihak polis bagi mengelak berlaku sebarang situasi tidak diingini.

Dalam pada itu, ketika membuat pendaftaran, para pengamal media tidak dibenarkan membawa sebarang barang elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba dan pita rakaman ke dalam bilik bicara.

Walaupun pada mulanya mahkamah menetapkan tarikh membuat keputusan saman Musa dibuat esok (26 Okt) tetapi baru-baru ini, mahkamah mengeluarkan arahan supaya tarikh itu diawalkan ke hari ini namun menjelaskan prosiding pada hari ini hanya untuk penghujahan lisan daripada peguam.

Pada 6 Jun lepas, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga memfailkan saman baharu terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie bagi menggantikan saman difailkan pada 17 Mei lepas, memohon pengisytiharan Musa kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.-- BERNAMA

 

2 Comments