KOTA KINABALU- Presiden Persatuan Etnik Sonsogon Sabah (PESOSA), Jaibah Makaum mahu NGOs Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia yang diketuai (Presiden) Datuk Peter Anthony mengambil alih tugas pelaksana Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah mulai tahun hadapan.
Cadangan Jaibah bukan saja sebagai pelaksana tetapi cuba mengubah tempat perayaan ini yang biasanya dilaksanakan di KDCA, Penampang.
“Setiap tahun KDCA merupakan penganjur.... kami mendapati sebahagian program tidak dibuat secara professional... luahan demi luahan kekesalan terutama daripada pihak etnik-etnik atau persatuan yang kecil ini tidak diendahkan selama ini.”
“Kita juga mahu tempat pelaksaan pesta ini dipindahkan dari Hongkod Koisaan di Penampang ke Kompleks Sukan Likas atas sebab banyak lot letak kereta.” katanya lagi.
Isunya bukan siapa pelaksana, apa lagi aktiviti pestanya sudah tidak profesional termasuklah ruang tempat kereta yang terhad. Tetapi adakah mereka sedar bahawa Pesta Kaamatan adalah salah satu pesta utama melibatkan etnik KDM yang diketuai Hugoun Siou (pemimpin agong bagi seluruh etnik KDM).
Jangan disebabkan politik budaya atau pesta menjadi mangsa percaturan politik yang berkepentingan.
Amat wajar bagi setiap persatuan etnik KDM melihat semula pandangan dan cadangan yang tidak sesekali membelakangi adat budaya dan ketua agung kerana semua ini bukan baru sahaja diamalkan tetapi berkurun lama sebelum negara ini merdeka dan membangun.
Sensitiviti bagi etnik yang majoriti di kawasan Pantai Barat Selatan dan pedalaman atas negeri Sabah jangan sesekali dikaitkan dengan politik. Fikirkan masa depan anak-anak yang akan meneruskan budaya ini di masa hadapan.
Pemimpin Agong bukan dipilih seperti pilihan raya tetapi Hugoun Siou dipilih melalui ritual zaman berzaman dan jika ini sudah tidak dihormati lagi tidak mustahil budaya KDM akan hilang.
Jaibah Makaum Pesosa