TASEK GELUGOR 7 Nov. - Gambar Betty Chew isteri Lim Guan Eng tular dalam media sosial ketika sesi taklimat berkenaan situasi semasa banjir oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di sini.
Komen-komen netizen mempersoalkan siapa Betty Chew yang menyertai mesyuarat itu.
Dalam sesi perjumpaan itu Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya meneliti semua projek perumahan di lereng bukit yang diluluskan kepada pemaju sebagai antara langkah mengelak bencana banjir besar pada masa hadapan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut memberi peringatan kepada pemaju supaya tidak mementingkan keuntungan semata-mata dalam merancang sesebuah pembangunan.
Menurut beliau, kesan terhadap alam sekitar adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam rancangan pembangunan justeru adalah mustahak untuk pemaju mematuhi segala peraturan ditetapkan.
“Soal penguatkuasaan perlu diberi perhatian selain semua keperluan kepada projek pembangunan seperti anjakan (setback) sungai perlu dipatuhi.
“Apa-apa syarat perlu dikenakan untuk mengelak pembangunan yang dirancang tidak membawa akibat yang boleh menjejaskan keadaan alam sekitar dan boleh menjadi lebih buruk pada masa depan,” katanya.
Beliau turut berkesempatan meninjau situasi banjir di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh dalam lawatan separuh hari tersebut.
Dalam majlis sama, Rosmah turut menyerahkan bantuan kepada dua agensi penyelamat bagi keperluan mangsa banjir masing-masing sebanyak RM50,000 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan RM60,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, DS Farizan Darus, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang, ADUN Sungai Puyu yang juga EXCO negeri Phee Boon Poh, Ahli Parlimen (MP) Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan MP Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail.