Bekas Pemimpin UMNO Sabah sertai Bersatu hampir pasti?
05:12 Dec 18, 2018  |  By SabahKini2
Bekas Pemimpin UMNO Sabah sertai Bersatu hampir pasti?

BEKAS PEMIMPIN UMNO SABAH SERTAI BERSATU?

Gambar itu menunjukkan bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Datuk Hajiji Noor mengagih-agihkan apa yang dilihat sebagai borang keahlian Bersatu kepada bekas pemimpin Umno.

KOTA KINABALU: Sejak semalam tular gambar bekas pemimpin Umno Sabah bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila gambar pengagihan borang keahlian parti tersebar meluas

Gambar itu menunjukkan bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Datuk Hajiji Noor mengagih-agihkan apa yang dilihat sebagai borang keahlian Bersatu kepada bekas pemimpin Umno.

ADUN Karanaan Datuk Masidi Manjun apabila dihubungi tidak memberi sebarang komen terhadap gambar-gambar tersebut.

"Setakat ini kami masih bebas ... tidak ada yang mengisi borang itu," katanya.   

Sebelum ini 13 wakil rakyat Umno, 5 Ahli Parlimen Sabah termasuk Hajiji dan dua orang senator mengisytiharkan keluar parti untuk menjadi ahli bebas.

Mereka juga menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan dan Kerajaan Negeri pimpinan Warisan.

Beberapa pemimpin Warisan termasuk Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking bertegas Parti Pribumi Bersatu tidak boleh masuk ke Sabah.

Meredakan kekusutan semalam Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamed membuat kenyataan Bersatu tidak akan akan masuk ke Sabah tetapi orang Sabah boleh menyertai Bersatu.

Beberapa bekas pemimpin Umno yang dihubungi mereka mengatakan masih menjadi adun bebas.

Bekas Ketua Umno Bahagian Semporna Ramlee Marahaban berkata mereka masih bebas dan menambah bahawa mereka akan bergerak sebagai satu kumpulan jika mereka menyertai mana-mana parti.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Isnin Aslianih menjawab sambil ketawa apabila ditanya sama ada kumpulan itu telah menyertai PPBM.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu, sambil menambah bahawa Hajiji akan membuat pengumuman "tidak lama lagi".

Setakat ini Hajiji tidak mengulas apa-apa mengenai sebaran gambar itu.

 

5 Comments