PUTRAJAYA - Dua pertubuhan bukan kerajaan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah dalam isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada dua syarikat.
Penasihat Generation2u United Club, Kalam Azad Abu Bakar berkata pada 2009, tanah di mukim Ijok itu telah dirampas oleh kerajaan Selangor ekoran kegagalan LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd (MZSB) membangunkan tanah tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan.
Menurutnya, pihak LBCN dan MZSB telah mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Selangor namun gagal apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan saman tersebut dan Mahkamah Rayuan juga telah menolak rayuan LBCN dan MZSB untuk mengekalkan keputusan mahkamah tinggi.
"Persoalannya mengapa kerajaan negeri Selangor bertindak sedemikian secara tiba-tiba sedangkan kerajaan negeri mempunyai kelebihan dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan memandangkan terdapat keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang jelas memihak kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Justeru, Kalam Azad berkata Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan supaya SPRM dapat melakukan siasatan sewajarnya dan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti rasuah.
KENYATAAN PENUH MEDIA