Mukhriz sokong syor Tun M kekal PM hingga PRU-15
14:12 Dec 30, 2018  |  By SabahKini2
Mukhriz sokong syor Tun M kekal PM hingga PRU-15

Cadangan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat tidak bercanggah dengan perjanjian Pakatan Harapan (PH) untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Ment

PUTRAJAYA: Cadangan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat tidak bercanggah dengan perjanjian Pakatan Harapan (PH) untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata bagaimanapun cadangan itu tertakluk kepada pandangan rakan komponen dalam PH selain sokongan daripada rakyat.

"Tapi apa juga komen seperti itu saya rasa perlu diambil kira sebelum satu keputusan dicapai. Perbincangan seperti itu tentunya akan dibuat di peringkat Majlis Presiden PH.

"Setakat apa yang saya tahu ia (cadangan berkenaan) tidak bercanggah kerana kita masih merancang untuk Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan.

"(Cuma) waktunya adalah isu. Saya rasa apa yang penting kita pastikan apa yang perlu kerajaan selesaikan dahulu dan kemudian baru kita rasa selesa dengan situasi itu, (melantik Perdana Menteri)" katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan daripada beberapa perwakilan negeri supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga PRU-15.

Cadangan itu disampaikan perwakilan negeri ketika membahaskan ucapan dasar Pengerusi BERSATU.

Difahamkan, cadangan itu diutarakan oleh perwakilan Kelantan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bachok, Zulkifli Zakaria.

Perkara itu turut disahkan seorang lagi perwakilan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Selayang, Selangor, Zulkifli Mohamad yang berkata, sekurang-kurangnya lapan perwakilan negeri mencadangkan perkara sama ketika sesi perbahasan.

6 Comments