Baik punya kawtim! 'Ayam' bukan sahaja di darat, kini sindiket pelacuran juga di laut. Pelacur dari Batam, Kepulauan Riau, Indonesia dihantar ke kapal-kapal yang berlabuh.
KOTA TINGGI: Dari ‘reban’ ke kapal. Itu modus operandi terkini sindiket pelacuran berpangkalan di Batam, Kepulauan Riau, Indonesia, menawarkan perkhidmatan gadis peneman kepada kru kapal berlabuh secara sah di perairan Pulau Lima, dekat sini.
Aktiviti haram itu dilaporkan berlaku sejak setahun lalu dan sindiket terbabit melakukan penghantaran gadis ke kapal dengan kekerapan tiga hingga lima kali sehari bergantung kepada permintaan pelanggan.
Persoalannya bagaimana bot penumpang atau ‘teksi air’ yang membawa gadis dari Batam itu boleh lolos ke perairan negara?
Bagi merungkai persoalan itu, wartawan Skuad Khas Harian Metro dengan bantuan nelayan tempatan hanya mahu dikenali sebagai Kasim, 40, ke perairan berkenaan untuk melakukan tinjauan dan penyiasatan.
Hasil pemantauan dilakukan mendapati aktiviti penghantaran gadis dari seberang ke kapal berlabuh di perairan berkenaan benar-benar berlaku.
Kasim mendakwa, berdasarkan pemerhatiannya teksi air dari Batam, menceroboh perairan negara untuk menghantar gadis dipesan pelanggan dalam kalangan kru kapal berlabuh sekitar Pulau Lima.
“Saya dimaklumkan setiap pelanggan dikenakan caj RM400 hingga RM500 untuk satu malam. Hantar jam 3 petang contohnya, 3 petang esok baru bot datang ambil semula gadis itu.
“Kekerapan ikut permintaan, tak kira siang atau malam mereka hantar asalkan ada yang mahu melanggan.
“Teksi air dari Batam ambil masa kurang 45 minit untuk sampai ke lokasi kapal berlabuh, tapi kalau cuaca tak elok dan ombak besar perjalanan lebih lama atau satu jam,” katanya.
Kira-kira jam 8 pagi keesokannya, Kasim membawa wartawan ke lokasi Pulau Lima dengan menaiki bot nelayan.
Selepas 30 minit meninggalkan jeti di Sungai Rengit, Kasim merapati sebuah kapal pasir yang karam terletak tidak jauh dari perairan kapal berlabuh.
Wartawan dan jurugambar diminta ke bahagian kapal pasir yang karam bagi melakukan pemerhatian.
Sambil menunggu teksi air melintasi lokasi bot dinaiki berlabuh, kami dan Kasim berpura-pura memancing bagi mengelakkan kehadiran dicurigai.
Lima jam menunggu, Kassim memberi isyarat mengenai kehadiran teksi air menghantar gadis dari seberang ke sebuah kapal sedang berlabuh.
Teksi air datang dari Batam yang memecut laju menghala ke perairan negara, sebelum menghampiri sebuah kapal dagang untuk menurunkan penumpang.
Bahagian atas teksi air ditutup dengan kanvas bagi menyembunyikan ‘pakej’ dihantar ke kapal itu.
Bot berkenaan kemudian memecut laju sebelum hilang di celah-celah puluhan kapal berlabuh di perairan berkenaan.
Kira-kira 15 minit kemudian, bot sama dilihat memecut laju meninggalkan kawasan perairan Johor.
Kassim menegaskan, ada beberapa penghantaran lain akan dilakukan sebelum meminta kami bersabar.
Jam menunjukkan 4 petang, penantian bot penumpang kedua tidak kunjung tiba manakala keadaan laut bergelora.
Kami mengambil keputusan kembali ke jeti dan menyambung tinjauan pada hari berikutnya.
Sebaik tiba di jeti Sungai Rengit, kami bertanya kepada nelayan bagi mengorek rahsia aktiviti di perairan Pulau Lima.
Majoriti nelayan ditemui mengakui tahu aktiviti itu namun tidak berani campur tangan kerana bimbangkan keselamatan diri.
Mereka yang enggan dikenali mendakwa selain aktiviti persundalan, ada juga operator bot mengambil bekalan petrol dan diesel dari kapal berlabuh untuk dibawa pulang ke Indonesia.
Difahamkan, ada operator bot membeli bahan api itu daripada kru kapal dan tidak kurang pula menggunakan sistem barter iaitu tukaran rokok kepada petrol atau diesel.
Kegagalan pada hari pertama tidak mematahkan semangat wartawan namun kami sedikit tertekan kerana ramalan cuaca melaporkan hujan lebat dan angin kencang akan melanda perairan berkenaan.
Namun pada 7.30 pagi hari berikutnya kami sekali lagi ke perairan itu untuk meneruskan pemantauan.
Sekitar jam 11 pagi, sebuah bot penumpang ditutupi kanvas berwarna hitam memecut laju dari perairan Batam ke Johor.
Sama seperti hari sebelumnya bot penumpang diperhatikan hilang di sebalik kapal dagang berlabuh sebelum memecut keluar dari perairan negara 15 minit kemudian.
Sejam berselang, satu lagi bot penumpang ditutup dengan kanvas berwarna kuning memecut laju ke perairan Malaysia.
Kali ini, Kassim dan wartawan berharap bot penumpang itu merapati kapal dagang yang berlabuh berhampiran kedudukan kami.
Harapan kami menjadi kenyataan apabila bot penumpang itu berhenti 300 meter dari kedudukan kami.
Jurugambar melakukan tugasnya dengan merakam foto dan video yang menjadi bukti aktiviti haram itu benar-benar berlaku.
Kami sekali lagi dipaksa kembali ke daratan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan sekitar jam 3 petang.
- hmetro.com.my