KOTA KINABALU: Pengumuman pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan bertapak menggemparkan Sabah khususnya Presiden Warisan dan pemimpinnya yang tidak percaya PPBM mungkir janji untuk tidak masuk ke Sabah.
Sebaliknya Umno Sabah, bekas pemimpin Umno dan rakyat Sabah yang mahu menyertai parti itu melihat secara positif perkembangan itu.
Bagi Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin keputusan PPBM masuk ke negeri itu sangat dialu-alukan dengan berkata, keputusan tersebut menguntungkan Umno kerana PPBM bukan ancaman terhadap Umno di Sabah.
“Sebaliknya, parti yang terancam ialah Warisan. Mereka yang meninggalkan Umno yang dikatakan berjumlah kira-kira 80,000 orang sudah bersedia untuk menyertai PPBM.
“Oklah. Itu lebih baik kerana kita tahu mereka yang kekal bersama kita benar-benar ikhlas dan jujur dengan perjuangan Umno. Kita akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya
Dalam pada itu, bekas timbalan ketua penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marhaban, yang keluar parti bersama-sama pimpinan Umno negeri itu Disember lepas, mengalu-alukan langkah berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana menerima permintaan rakyat Sabah.
Beliau mengesahkan bahawa kesemua bekas pimpinan Umno Sabah, yang kini tidak berparti, akan menyertai parti nasional itu sebaik sahaja ia ditubuhkan secara rasmi di negeri tersebut.
“Saya fikir ia langkah yang baik kerana ia memberi manfaat kepada rakyat Sabah dalam jangka panjang. Saya tidak faham kenapa ada pihak yang tidak senang. Dr Mahathir telah menyebut bahawa ia akan memperkuatkan kerajaan negeri.