Jamawi patut berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir, bukan menyerang
15:02 Feb 20, 2019  |  By SabahKini2
Jamawi patut berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir, bukan menyerang

Ucaplah terima kasih kepada Dr. Mahathir dan bukan sebaliknya menyerang beliau. Kalau mengikut logik Jamawi, adakah bantuan dan sokongan Dr. Mahathir kepada Warisan hingga berkuasa dan menumbangkan UMNO pada PRU14 juga salah satu stretagi politik 'pecah d

Kenyataan media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, YB Jamawi Jaafar bertarikh 18 Februari 2019 agak mengejutkan. Dalam keberanian beliau mengkritik Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, banyak intipati kenyataan media beliau menarik perhatian untuk diulas.

Beliau mendakwa Dr. Mahathir melaksanakan politik 'pecah dan perintah' di Sabah sejak tahun 1981 dan mengulanginya semula dengan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah.

Dalam banyaknya hujah Jamawi yang boleh dipertikaikan, buat kali ini, saya memilih untuk menyentuh dua perkara utama.

Pertama, sebagai pemimpin parti Warisan, saya fikir perkara paling afdal yang perlu dilakukan oleh Jamawi adalah untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir selaku pemimpin utama Pakatan Harapan. Ini adalah kerana sekiranya tidak berlaku perubahan tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke- 14, Kerajaan Negeri Sabah hari ini tidak akan terbentuk. Saya cukup yakin, sekiranya Kerajaan Persekutuan masih kekal diterajui BN, ADUN-ADUN yang terlibat yang bertanding mewakili BN daripada parti UPKO dan UMNO (termasuk Jamawi) tidak akan melompat ke kapal parti Warisan sehingga membolehkan terbentuknya Kerajaan Negeri yang baharu.

Kalau ditanya hari ini sudah pasti ADUN-ADUN yang berkenaan menafikan, tetapi hakikatnya itulah faktor utama 'penghijrahan' mereka setelah kesemuanya secara berjemaah menyokong pelantikan YB Tan Sri Musa Aman sehingga ke saat upacara angkat sumpah selesai. Pasti Jamawi tidak lupa kenyataan berbaur amaran yang dikeluarkan Dr. Mahathir di awal kemelut pelantikan Ketua Menteri Sabah. Maka, ucaplah terima kasih kepada Dr. Mahathir dan bukan sebaliknya menyerang beliau. Kalau mengikut logik Jamawi, adakah bantuan dan sokongan Dr. Mahathir kepada Warisan hingga berkuasa dan menumbangkan UMNO pada PRU14 juga salah satu stretagi politik 'pecah dan perintah' di Sabah?

Kedua, Jamawi juga mengaitkan UMNO dalam gerakan politik 'pecah dan perintah' sejak zaman USNO pada tahun 1976. Respon saya ringkas, kalau benar sekalipun tuduhan Jamawi, adalah amat malang kerana beliau baru menyedari perkara ini dalam tempoh sembilan bulan berada dalam parti Warisan. Tempoh yang amat singkat berbanding berpuluh tahun lamanya beliau berada dalam parti UMNO sekaligus mendukung agenda politik 'pecah dan perintah' Dr. Mahathir dan UMNO sebagaimana dakwaannya.

Saya fikir adalah lebih wajar Jamawi akur kepada nasihat Presiden Warisan agar pendukung Warisan jangan bertindak emosional. Kenyataan Presiden Warisan itu membuktikan kematangan seorang pemimpin berpengalaman yang berjiwa besar. Jamawi pula sebagai pemimpin muda yang berwibawa, berpengalaman luas dan mempunyai pendedahan di peringkat nasional, serta bertuah mendapat peluang, sewajarnya fokus membantu Ketua Menteri Sabah untuk membangunkan negeri dan rakyat. Daripada menuding jari meletakkan kesalahan kepada Dr. Mahathir, Jamawi perlu bekerja keras menunaikan janji partinya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah termasuk membawa pulang anak-anak Sabah yang kini terpaksa bekerja di negeri dan negara lain.

Sekian.

ARMIZAN MOHD ALI
20 Februari 2019

10 Comments