Rakyat Sabah marah terhadap keputusan SM All Saints Likas mengasingkan pelajar Tingkatan Satunya ke kelas berlainan mengikut anutan agama mereka.
KOTA KINABALU: Pengasingan pelajar kelas Tingkatan Satu mengikut agama di Sekolah Menengah (SM) All Saints Likas tidak sepatutnya belaku.
Rakyat Sabah marah terhadap keputusan SM All Saints Likas mengasingkan pelajar Tingkatan Satunya ke kelas berlainan mengikut anutan agama mereka.
Mereka mempersoalkan agenda apa yang mahu diserapkan oleh pengetua sekolah itu.
Satu petisyen atas talian terhadap sekolah berkenaan dilancarkan 2 hari lepas dan berjaya mengutip lebih 5,500 tanda tangan.
Kebanyakan penanda tangan kesal kejadian sedemikian berlaku di Sabah yang selama ini berbangga dengan sifat toleransi kaum dan agama masyarakatnya.
Menurut penganjur petisyen, eksesais pengasingan itu bermula Januari lepas dengan 4 kelas dikhaskan untuk pelajar bukan Islam, sementara 2 kelas untuk pelajar Islam.
Pengasingan kelas itu dijangka terpakai untuk tempoh 3 tahun akan datang.
Dalam satu rakaman video, pengetua sekolah berkenaan menjelaskan antara sebab sistem baru itu diperkenalkan ialah isu keselamatan pelajar, kekurangan bilik darjah untuk subjek Pendidikan Islam dan aduan pelajar yang keliru tentang lokasi kelas mereka.
Pelajar Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 lain mempunyai sistem kelas seperti biasa.
Biasanya 2 kelas akan digabungkan untuk subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.
Pelajar beragama Islam akan berpindah ke perpustakaan atau surau untuk kelas Pendidikan Islam, sementara pelajar bukan Islam bergabung dalam satu bilik darjah.
Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan berkata, mereka telah memaklumkan bantahan kepada pengetua, tetapi ia tidak diendahkan.
Ibubapa penjaga di SM All Saints bimbang tentang sistem pengasingan itu kerana mereka percaya ia boleh membawa lebih banyak keburukan kepada pelajar.
“Di Sabah, kita terkenal dengan sikap toleransi. Jika sistem ini dipaksakan ke atas anak-anak kita, cuba bayangkan bagaimana ia akan memberi kesan ke atas hubungan dengan orang daripada agama lain pada masa depan,” katanya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Mistirine Radin pula dikatakan masih sibuk menyiasat perkara itu.
Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching meminta Jabatan Pendidikan Sabah “membetulkan” langkah SM All Saints mengasingkan pelajar Islam dan bukan-Islamnya mengikut anutan agama mereka.
Pentadbir sekolah perlu lebih sensitif dan berhati-hati dalam memimpin sekolah mereka.
“Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan pendidikan berteraskan nilai dan (sikap) saling menghormati adalah salah satu nilai dan budaya teras yang selalu ditegaskan oleh Menteri Pendidkan, Maszlee Malik, khasnya dalam negara kita yang menuntut perpaduan kaum.”
Teo berkata, Jabatan Pendidikan Sabah telah memaklumkan kepada kementerian bahawa pegawai dari Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) dan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) akan pergi ke sekolah berkenaan bagi membantu “tindakan pembetulan” itu.
Hari ini dilaporkan Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah Datuk Dr Yusof Yacob turut melawat SM All Saints Likas mengarahkan agar sistem itu dibuat pembetulan.