Kenapa takut video itu? Isham Jalil mencabar pihak yang melaporkan polis di mana salahnya memuatnaik video itu?
KUALA LUMPUR- Tidak sedikitpun takut diugut lapor kepada pihak polis, Isham Jalil bekas Pegawai Khas PM itu memuatnaik satu lagi Satu rakaman rakaman transkrip video Court Recording and Transcription (CRT) dalam perbicaraan Dato’ Seri Najib hari ini.
REPORT POLIS OLEH PEGUAM PH
Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat beberapa peguam PH yang tidak berpuas hati apabila saya memuatnaik rakaman transkrip video Court Recording and Transcription (CRT) dalam perbicaraan Dato’ Seri Najib di mahkamah semalam.
Peguam-peguam PH ini berkata mereka akan membuat laporan polis.
Dalam hujah mereka, mereka berkata ini adalah satu kesalahan mengikut peraturan mahkamah dan mereka berkata saya boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah atau contempt of court.
Saya ingin bertanya kepada mereka: Di manakah di dalam peraturan mahkamah dinyatakan bahawa tidak boleh memuatnaik rakaman CRT perbicaraan awam dalam Facebook atau di media sosial atau di mana-mana media?
Untuk pengetahuan mereka, terdapat dua perkara dalam peraturan umum mahkamah berkaitan rakaman semasa perbicaraan:
Pertama, tidak boleh membuat siaran langsung atau live telecast ketika perbicaraan sedang berlangsung (kecuali dengan kebenaran).
Kedua, tidak boleh merakam perbicaraan sendiri.
Oleh itu dalam hal ini, saya ingin bertanya lagi kepada mereka: Di balik manakah yang saya bersalah menghina mahkamah seperti yang dikata mereka?
Dalam video yang dimuatnaik semalam, tidak ada siaran langsung mahupun rakaman sendiri.
Video yang dimuatnaik tersebut bukanlah siaran langsung tetapi adalah rakaman, dan rakaman tersebut dibuat oleh mahkamah melalui CRT dan bukan oleh pihak lain.
Rakaman CRT mahkamah dan rakaman video sendiri adalah berbeza.
Apabila mahkamah merakam transkrip video CRT ianya adalah tidak sama dengan orang lain merakam sendiri prosiding mahkamah.
Di United Kingdom, rakaman transkrip video CRT prosiding mahkamah adalah dianggap seperti transkrip bertulis dan boleh didapatkan oleh orang ramai secara terbuka daripada Arkib Negara Britain (British National Archive) sepertimana juga transkrip bertulis.
Perkara ini juga sama di banyak negara-negara maju yang lain.
Di Malaysia setakat ini tidak ada peraturan bertulis berkenaan siaran rakaman transkrip video CRT prosiding mahkamah.
Saya pelik jika peguam-peguam PH ini tidak faham atau tidak tahu akan hal ini.
Saya juga pelik kenapa mereka ini takut sangat apabila rakyat melihat video rakaman perbicaraan ini.
Adakah peguam-peguam PH ini tidak mahu rakyat tahu atau lihat sendiri butiran perbicaraan Dato’ Seri Najib?
Perbicaraan Dato’ Seri Najib ini adalah suatu pendengaran awam (public hearing) oleh itu ianya bukanlah satu rahsia rasmi namun adalah satu rekod awam yang terbuka.
Memandangkan kes ini adalah kes yang berprofil tinggi dan menarik perhatian umum, maka rakyat berhak diberi peluang untuk mengikuti perbicaraan ini dengan terbuka atau dengan kekangan yang minimum.
Sebelum ini ada pemimpin PH yang membocorkan rahsia rasmi kerajaan tetapi lepas begitu sahaja.
Namun apabila saya memuatnaik video perbicaraan awam yang bukan rahsia, mereka tidak senang duduk pula.
Dahulu semasa Dato’ Seri Najib pergi ke Langkawi mereka buat report polis.
Sekarang apabila saya memuatnaik video CRT perbicaraan awam pun mereka hendak buat report polis juga.
Saya rasa pihak polis pun tahu yang tindakan orang-orang PH ini adalah dangkal, lemah dan bermotifkan politik semata-mata.
Saya juga ingin bertanya kepada Kerajaan PH dan penyokong-penyokong mereka termasuk peguam-peguam PH ini:
Jika sebelum ini inkues mendiang Teoh Beng Hock boleh dibuat secara siaran langsung, mengapa perbicaraan Dato’ Seri Najib tidak boleh dibuat secara langsung?
Walaupun kes Dato’ Seri Najib adalah perbicaraan awam dan kes Teoh Beng Hock adalah satu inkues, namun kedua-duanya adalah suatu pendengaran awam (public hearing) yang menarik perhatian umum.
Tambahan lagi inkues kematian mendiang Teoh Beng Hock mempunyai elemen emosi yang lebih tinggi berbanding kes SRC yang melibatkan Dato’ Seri Najib, oleh itu inkues tersebut sebenarnya mendatangkan lebih banyak risiko jika disiar secara langsung.
Walaupun dengan faktor di atas, inkues tersebut telah disiar secara langsung, namun kini mengapa perbicaraan Dato’ Seri Najib ingin dikekang siarannya pula oleh kerajaan?
Saya harap peguam-peguam PH ini jawab soalan ini dahulu sebelum membuang masa polis dan mahkamah dengan hujah lemah mereka untuk kepentingan politik mereka semata-mata.
Kepada peguam-peguam PH ini, saya ingin berkata:
Pertama, bacalah habis-habis peraturan mahkamah dan bukan sekerat-sekerat lalu terus buat tafsiran sendiri sesuka hati. Dan jangan pakai mantra: Benda boleh report polis buat apa baca.
Kedua, tegakkanlah keadilan walaupun pahit atau walaupun ianya tidak selari dengan kepentingan politik anda.
ISHAM JALIL
20 April 2019
P/S: Dilampirkan juga satu lagi video rakaman mahkamah yang saya tidak sempat muatnaik semalam untuk tontonan umum jua.