PBS tanding PRK Sandakan, Star dan BN tidak bertanding
23:04 Apr 22, 2019  |  By SabahKini2
PBS tanding PRK Sandakan, Star dan BN tidak bertanding

Star dan BN memberi laluan kepada parti tempatan bertanding dalam PRK Sandakan.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengesahkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, pada 11 Mei ini, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat di sini, baru-baru ini dan menggambarkan penyertaan parti itu bagi menyahut permintaan serta sokongan akar umbi.

Katanya, PBS kini di peringkat menyaring senarai nama memilih calon terbaik yang boleh menang.

“Kita masih meneliti senarai nama itu dan berharap boleh membuat pengumuman (mengenai calon) sebelum hari penamaan calon. Kita ada senarai calon berpotensi yang panjang dan ahli serta akar umbi di Sandakan masih menghantar senarai nama calon.

“Senarai itu termasuk pemimpin dalam parti dan dari luar. Kami teruja untuk mengibarkan bendera parti pada pilihan raya kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

PRK Parlimen Sandakan ditetapkan pada 11 Mei depan dengan penamaan calon Sabtu ini, susulan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Setakat ini, tiga calon Bebas sudah mengesahkan bertanding PRK itu, manakala beberapa parti termasuk Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan BN (MCA) tidak bertanding bagi memberi laluan kepada Gabungan pembangkang di Sabah.

2 Comments