Kesalahan di bawah Seksyen 463/465 Kanun Keseksaan itu membawakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
KOTA KINABALU: Seorang penolong pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa atas tuduhan memalsukan satu kad pengenalan.
Safiah Alijang (gambar), 53, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat kepada tuduhan terhadapnya pada Khamis. Dia dituduh membuat dokumen palsu itu yang tertera nombor siri 991207-12-5135 di bawah nama Muhamad Daniel Hafiez Bin Arif @ Jali pada pukul 3.05 petang pada 22 Mei 2013 di JPN cawangan Pitas.
Kesalahan di bawah Seksyen 463/465 Kanun Keseksaan itu membawakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 6 September tahun ini untuk pengurusan kes dan melepaskan Safiah dengan jaminan RM6,000 dan deposit RM4,000 serta seorang penjamin tempatan iaitu suaminya. Safiah juga diperintah supaya melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasportnya, jika ada, disimpan oleh mahkamah sehingga pelupusan kesnya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin daripada SPRM mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan. Safiah yang tidak diwakili meminta jaminan rendah kerana dia tidak berkemampuan.
Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia kini bekerja di jabatan itu tetapi di Kudat. -Harian Express