Mayat guru wanita dari Beaufort ditemui dalam bilik
04:11 Nov 15, 2019  |  By SabahKini2
Mayat guru wanita dari Beaufort ditemui dalam bilik

Guru berusia 27 tahun itu didapati tidak keluar dari bilik sejak beberapa hari lalu sehingga kejadian itu disedari rakannya pada kira-kira jam 6 petang.

KOTA KINABALU: Bau busuk dihidu rakan serumah membawa kepada penemuan mayat guru wanita berasal dari Beaufort dalam keadaan terlentang di lantai bilik sebuah apartmen di Manggatal, dekat sini.

Guru berusia 27 tahun itu didapati tidak keluar dari bilik sejak beberapa hari lalu sehingga kejadian itu disedari rakannya pada kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu wanita berusia 20-an yang juga rakan serumah wanita itu 10 minit kemudian.

“Sejurus terima laporan, kita arahkan anggota ke lokasi kejadian dan sebaik tiba terdapat bau busuk serta ada mayat seorang wanita di bilik berkenaan.

“Mayat ditemui dalam keadaan terlentang di lantai dan terdapat kesan darah dipercayai akibat terjatuh ketika seorang diri di bilik.

“Wanita itu dipercayai sudah meninggal empat hari lalu sebelum ditemui semalam.

“Menurut rakan serumah, wanita itu sudah tiga hari tidak keluar rumah dan hasil maklumat awal daripada ahli keluarganya bahawa wanita terbabit dipercayai ada sakit jantung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kematian guru itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Comment