Sewa Premis RM360k, 700 warga China sindiket penipuan pelaburan online ditangkap di Cyberjaya
09:11 Nov 21, 2019  |  By SabahKini2
Sewa Premis RM360k, 700 warga China sindiket penipuan pelaburan online ditangkap di Cyberjaya

Nampaknya misteri Cyberjaya dilambaki warga asing China kini terjawab apabila hampir 700 orang ditangkap tanpa passport dan duduk lebih masa di negara ini bekerja sebagai 'online scammer '. Malah sanggup membayar sewa premis RM360,000 sebulan.

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar membabitkan warga China selepas menahan 680 warganegara terbabit dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya, semalam.

Semua mereka yang berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai menjalankan aktiviti scam (penipuan) secara dalam talian yang berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.

Hasil serbuan pada jam 11 pagi ke atas premis terbabit yang disewa pada harga RM360,000 sebulan, sebanyak 8,230 unit telefon bimbit, 174 unit komputer riba dan 787 unit komputer peribadi dirampas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan mangsa di China dengan menawarkan keuntungan yang tinggi dan pantas.

Seramai 150 pegawai dan anggota Imigresen menyerbu premis terbabit yang dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan, susulan risikan sejak sebulan lalu hasil aduan awam.

 

Kawasan premis itu mempunyai pengawal keselamatan dan di setiap tingkat dilengkapi ciri-ciri keselamatan ketat dengan hanya mereka yang mempunyai kad akses boleh memasukinya, selain terdapat rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan keluar masuk.

“Sindiket ini membuat penipuan pada semua pelaburan tidak sah termasuk Forex dan semua operator (yang berpangkalan di Cyberjaya) akan menghantarkan satu kod kepada pelanggan dari laman web tertentu menggunakan bahasa China dalam aplikasinya.

“Semua urus niaga dan pembayaran dilakukan melalui Wechat Pay atau bank di China,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, kira-kira 100 orang sempat melarikan diri dengan merempuh kepungan pegawai imigresen, selain ada antara mereka yang tercedera dalam usaha melarikan diri.

Siasatan awal mendapati semua mereka tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan sosial (PLS) dan antara kesalahan dikenal pasti adalah melanggar syarat pas, selain masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah serta Seksyen tinggal lebih masa.

“Hampir semua yang ditahan tidak dapat mengemukakan pasport dan hingga kini tiada wakil atau individu hadir mengemukakan pasport mereka.

“Pihak Kedutaan China di Malaysia juga sudah dimaklumkan berhubung perkara ini, manakala tindakan penyitaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) terhadap barang rampasan akan dijalankan bagi tujuan siasatan.

“Kita akan mengesan individu di belakang syarikat terbabit dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi berkaitan,” katanya.

Semua 680 warga China terbabit kini direman selama 14 hari bermula semalam dan Imigresen akan terus mengesan saki baki sindiket. Malah masih ramai yang dapat melepaskan diri dari serbuan itu.

Akhirnya misteri mengapa ramai warga China di Cyberjaya kini terjawab. Cyberjaya kawasan sunyi tersembunyi untuk 'Scammer'. Jabatan Imigresen dan PDRM perlu terus memantau lagi. Mesti ada dalang besar terlibat termasuk pemilik premis.

1 Comment