Menjelang PRK Kimanis: SPRM akan soal Bung Moktar Projek biogas Felcra?
17:12 Dec 04, 2019  |  By SabahKini2
Menjelang PRK Kimanis: SPRM akan soal Bung Moktar Projek biogas Felcra?

Latheefa Kota KP mengesahkan akan memanggil Datuk Bung Moktar bagi projek loji biogas. Dijangkakan ia akan dilakukan ketika PRK Kimanis diadakan.

Nampaknya naratif SPRM menjelang PRK Kimanis tidak berubah seperti sebelum ini jika ada PRK akan ada alasan untuk SPRM membuat pendakwaan terhadap pemimpin pembangkang seperti Barisan Nasional.

Terbaru SPRM dilaporkan akan menyoal bekas pengerusi Felcra, Bung Moktar Radin dalam siasatan terhadap projek biogas oleh syarikat milik penuh kerajaan.

Sepertimana dilaporkan portal Malaysiakini sebelum ini berhubung projek loji biogas itu yang sudah difahami tujuannya untuk mengaitkan dengan Bung Moktar selaku Pengerusi Felcra ketika itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengesahkan siasatan berkenaan dijangka selesai tahun depan.

"Siasatan masih berjalan, harap dapat selesai pada awal tahun depan," katanya

Ditanya jika Bung akan dipanggil untuk disoal, Latheefa berkata "ya" tetapi enggan memaklumkan tarikh itu.

Latheefa dijangka memanggil Bung Moktar ketika berlangsungnya PRK Kimanis yang bakal dilaksanakan 60 hari dari sekarang. Strategi ini sudah dijangka memandangkan setiap kali PRK beberapa pemimpin pembangkang akan didakwa di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Mohd Nazrul Izam Mansor, yang dilantik selepas PH membentuk kerajaan, mendedahkan semalam bahawa pengurusan baru syarikat itu telah melaporkan projek biogas kepada SPRM pada tahun lepas selepas menjalankan audit pengurusan.

Nazrul menjelaskan seramai 13 individu telah diambil keterangan oleh SPRM dan sejumlah dokumen juga telah dirampas.

Felcra Bhd telah memeterai perjanjian dengan Megagreen Energy Sdn Bhd pada Disember 2014.

Menurut perjanjian itu, Megagreen akan memajak tanah milik Felcra untuk "membangun, membiayai, membina, memiliki, mengendali dan menguruskan secara terus" lima loji biogas..

Menurut perjanjian, loji enam megawatt akan dibina di lokasi kilang minyak sawit Felcra di Bukit Kepong (Johor), Sungai Melikai (Johor), Nasaruddin (Perak), Seberang Perak (Perak) dan Maran (Pahang) milik Felcra.

Selepas lima tahun perjanjian dimeterai, sejumlah peserta Felcra membangkitkan persoalan berhubung projek biogas itu walaupun rekod syarikat menunjukkan Megagreen telah menerima RM35.25 juta pinjaman daripada RHB Islamic Bank Bhd pada Jun 2015.

Pinjaman itu belum habis dibayar setakat Oktober 2019. Sementara itu projek biogas itu tidak siap dan tidak beroperasi.

Bagaimanapun menurut CEO Felcra, Nazrul turut menjelaskan tiada wang Felcra atau pesertanya yang digunakan untuk membiayai projek biogas itu kerana ia dibiayai melalui pinjaman RHB dan ekuiti.

Projek ini sekarang diterajui oleh syarikat minyak dan gas yang tersenarai di bursa saham, Serba Dinamik Holdings Bhd dan Felcra menyasarkan dua kilang biogas di Perak akan siap pada suku pertama tahun 2020.

 

4 Comments