‘Trojan Horse’ Anwar untuk agenda PM 8 muncul lagi. Kini Lokman Noor Adam bergaji RM50,000 sebulan muncul lagi dengan tuduhan melulunya yang memecah belahkan parti.
KUALA LUMPUR- Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan UMNO punyai prinsip dan tatacara yang mesti dipatuhi oleh semua ahli dan mendedahkan rahsia parti kepada umum adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Justeru tegasnya lagi menghebahkan apa yang disebut oleh Presiden UMNO dalam mesyuarat tertutup sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Lokman Adam adalah tindakan yang salah dan sangat tidak bertanggungjawab.
Apatah lagi jelas beliau Presiden UMNO hanya memberikan gambaran awal serta ingin mendapat pandangan dari pelbagai pihak berhubung perkara membabitkan kepentingan parti.
“Belum ada sebarang keputusan atau tindakan yang dimuktamadkan oleh parti mengenai perkara itu. Apakah itu satu kesalahan sehingga dianggap Presiden UMNO melakukan satu pengkhianatan?
“Tindakan memanipulasikan pelbagai isu, situasi serta membuat kenyataan terbuka dan melulu oleh Lokman Adam adalah suatu yang tidak profesional malah boleh merosakkan imej parti. Ini boleh menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi yang sepatutnya dielakkan”, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk tindakan Lokman Adam yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang didakwa akan bekerjasama Datuk Seri Dr Mahathir menerusi satu pakatan baharu.
Malah kata Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong tuduhan ke atas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO kononnya menerima payroll atau bayaran serta mengaitkan hubungan UMNO PAS dalam erti kata yang tidak tepat dan salah berkaitan isu kerajaan gabungan ini adalah amat keterlaluan dan sangat tidak bertanggungjawab.
UMNO jelas beliau mempunyai kaedah yang tersusun dan segala keputusan parti pasti akan melalui saluran yang betul dan tepat.
“Sudah tentu Presiden UMNO dan kepimpinan tertinggi parti tidak akan membelakangkan kepentingan parti dalam membuat sebarang keputusan penting.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 24 Julai 2019 membuat keputusan, hanya Presiden parti yang diberikan mandat untuk mewakili UMNO jika terdapat mana-mana pihak daripada luar yang ingin mengadakan sebarang kerjasama dengan UMNO”, ujarnya.
Kerana itu tambah beliau lagi, sebarang perbincangan atau perundingan mesti mematuhi apa yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi UMNO. Dan proses ini dilakukan oleh Presiden UMNO dengan penuh tanggungjawab.
“Dengan tegas dinyatakan di sini bahawa, UMNO tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti terutama parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP. Maknanya UMNO menolak sebarang bentuk kerjasama yang melibatkan DAP.
“UMNO punyai prinsip dan idealoginya sendiri. Sesekali ianya tidak akan digadaikan”, katanya.
Umum mengetahui Lokman Noor Adam adalah ‘Trojan Horse’ Anwar dalam UMNO. Lokman dikatakan menerima upah RM50,000 sebulan untuk melakukan kerja-kerja mengucar kacir UMNO dari dalam untuk agenda Anwar PM 8.