Bukan kali pertama Raymond menggunakan kepala surat PKR untuk mengarahkan pegawai agensi kerajaan negeri. Kini gunakan NGO Kaum untuk membuat laporan kepada SPRM terhadap isu pembalakan kerajaan negeri.
KOTA KINABALU - Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Angkatan Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Raymond Ahuar mengesahkan pemecatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.
Dalam satu kenyataan hari ini, Raymond berkata, berita pemecatannya adalah benar.
"Saya dimaklumkan isu pemecatan saya dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri Sabah dan diusulkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah serta mendapat sokongan majoriti anggota Kabinet.
"Datuk Christina juga memaklumkan beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan notis pemecatan secepat mungkin," katanya.
Menurut Raymond, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepadanya sejak setahun enam bulan yang lalu menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Politik kepada Christina.
Ditanya alasan pemecatan itu, beliau mengemukakan surat lawatan kerjanya ke Pensiangan, atas kapasitinya sebagai setiausaha politik kepada timbalan ketua menteri, dan berkata:
“Inilah sebabnya saya dipecat oleh Kabinet Sabah.”
“Saya juga tertanya-tanya mengapa,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Surat itu, yang ditandatangani Setiausaha PKR Pensiangan Arifin Antikoh, mempunyai kepala surat PKR dan bukannya surat pejabat Setiausaha politik atau kerajaan negeri.
Ia bertujuan memaklumkan beberapa jabatan kerajaan dan penduduk kampung di mana Ahuar melawat ke kawasan itu.
Menurut sumber ini bukan kali pertama Raymond Ahuar menyalahgunakan kuasanya seperti mengguna kepala surat PKR bagi mengarahkan pegawai serta agensi kerajaan negeri hadir ke programnya sebagai Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Malah Raymond cuba menutup kesilapannya menjadi hero rakyat menggunakan surat NGO membuat aduan kepada SPRM, pejabat JTU dan alam sekitar seolah-olah Raymond bertindak sebagai pembangkang mengkritik Kerajaan Negeri. SUPOL tidak seharusnya menggunakan 'pintu belakang' menyerang anggota kerajaan sesama sendiri. Begitu banyak masalah dicetuskan oleh Raymond Ahuar dan kemuncaknya ialah pemecatannya pada 13 Februari 2020.
Maka tidak menghairankan jika Datuk Seri Shafie Apdal mengarahkan memecat Raymond Ahuar memandangkan Christina Liew sendiri tidak dapat mempertahankan anak buahnya.
[ARTIKEL BERKAITAN- Kabinet Sabah restu Raymond Ahuar Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri dipecat ]
Persoalan yang dilontar netizen apakah SPRM akan menyiasat surat Raymond Ahuar mengenai pembalakan di Nabawan terhadap syarikat Briliant Junction Sdn Bhd yang dikaitkan dengan adik Shafie Yusof Apdal itu?
Mengapa begitu marah benar Shafie Apdal kepada Raymond Ahuar wal hal pemecatan Setiausaha Politik tidak perlu dibawa dalam kabinet ia hanya kuasa Ketua Menteri?
Paling gembira dengan pemecatan ini ialah Datuk Christina Liew yang telah lama mahu membuang Raymond kerana dianggap 'budak Anwar' tetapi tidak berdaya. Umum mengetahui Anwar dan Christina tidak sebulu. Kini Christina dengan penuh bangga berkata ini syor Shafie Ketua Menteri Sabah dalam kabinet membuang Raymond. Raymond hanya mampu berkata dia akur dengan keputusan itu.