"Mungkin tidak (9 Mac), saya akan berhubung secara rasmi dengan PMO (Pejabat Perdana Menteri) esok,
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 9 Mac ini, mungkin ditangguhkan pada satu tarikh baharu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, berkata pihaknya akan berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mendapatkan kepastian dan tarikh baru mengenai perjalanan sidang Dewan Rakyat.
"Mungkin tidak (9 Mac), saya akan berhubung secara rasmi dengan PMO (Pejabat Perdana Menteri) esok," katanya ketika dihubungi hari ini
Mengikut jadual asal, istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 sepatutnya berlangsung 9 Mac ini dengan perasmiannya akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Undi Tidak Percaya
Hari ini Pakatan Harapan sudah bersetuju untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri kelapan dalam sidang Dewan Rakyat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul itu akan dibawa secepat mungkin oleh Ahli Parlimen PH.
“Kita dah ambil keputusan (bawa usul undi tidak percaya) secepat mungkin. Tarikh terpulang kepada Dewan Rakyat untuk tentukan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Segambut, di sini, hari ini.
Bagaimanapun penangguhan Sidang Dewan Rakyat di bawah kuasa PM baru bakal menjejaskan sokongan Ahli Parlimen terhadap Pakatan Harapan. Dijangka lebih ramai Ahli Parlimen akan 'U-Turn' kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin PM ke-8.