Pakej rangsangan PRIHATIN RM250B. Daripada jumlah RM230b ini, RM22b adalah suntikan fiskal langsung, RM100b dalam bentuk moratorium pinjaman, RM55b dalam bentuk jaminan, RM40b pengeluaran KWSP dan RM13b lain2 sumber.
1. Terdapat pelbagai reaksi terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri petang semalam. Ramai yang menyahut baik pakej menyeluruh berjumlah RM250b ini. Walaubagaimanapun ada juga yang mempertikaikan jumlah yang disebut memandangkan jumlah suntikan fiskal secara langsung adalah berjumlah RM25b . Bagi saya pakej ransangan ini memang prihatin rakyat dan menyeluruh. Memandangkan telah ramai yang memberikan ulasan terhadap langkah2 terperinci, Izinkan saya memberikan ulasan dalam konteks pengurusan Kewangan/ fiskal secara keseluruhan.
2. Dalam mentadbirkan sesebuah negara, selain daripada suntikan fiskal langsung melalui bajet Kerajaan Persekutuan, mana2 Kerajaan perlu menggembling dana daripada pelbagai sumber untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Ini termasuklah dana2 daripada agensi2 Kerajaan, syarikat2 berkaitan Kerajaan dan sektor swasta. Lagipun kira2 dua pertiga daripada ekonomi negara kini dipacu oleh sektor swasta.
3. Pada 27hb Februari 2020 yang lalu Mantan PM7 telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bernilai RM20b. Daripada jumlah ini, hanya RM3.5b adalah suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan Persekutuan. Selebihnya adalah dari sumber luar bajet iaitu RM10b daripada suntikan pengurangan kadar 4% caruman pekerja KWSP, RM3.5b dana pinjaman BNM, BSN dan lain2 agensi, dan RM3b daripada sumber lain.
4. Dalam Bajet 2020 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019, Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM297b berbanding jumlah hasil RM244.5b . Ini bermakna setelah mengambil kira terimaan balik pinjaman RM0.8b, Kerajaan akan mengalami defisit fiskal sebanyak RM51.7b, atau 3.2% daripada KDNK pada nilai semasa RM1,608b. Suntikan langsung RM3.5b yang diumumkan dalam PRE 2020 akan meningkatkan defisit fiskal tahun 2020 kepada 3.4% daripada KDNK.
5. Krisis ekonomi global akibat wabak Covid-19 akan mengurangkan hasil Kerajaan dengan ketara. Sebagai contoh, seingat saya, setiap USD1 kejatuhan harga minyak mentah Brent setong akan mengakibatkan pengurangan hasil Kerajaan sebanyak kira2 RM300j setahun. Bajet 2020 telah disediakan berdasarkan andaian purata harga minyak mentah Brent USD62 setong. Harga minyak Brent terkini adalah USD25 setong dan purata harga untuk bulan Mac adalah USD35 setong. Ini bermakna sekiranya purata harga minyak Brent untuk tahun 2020 adalah pada harga USD35 setong, hasil Kerajaan akan berkurangan sebanyak kira2 RM8b . Hasil cukai pendapatan juga dijangka berkurangan akibat penurunan pendapatan bercukai individu dan korporat. Jika diandaikan hasil Kerajaan keseluruhannya akan berkurangan sebanyak RM22b, ia akan meningkatkan defisit fiskal kepada kira2 RM74b atau 4.6% daripada KDNK.
6. Dalam pembentangan Pakej rangsangan PRIHATIN, YAB PM telah mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250b iaitu RM20b daripada PRE 2020 yang terdahulu dan RM230b rangsangan tambahan. Daripada jumlah RM230b ini, RM22b adalah suntikan fiskal langsung, RM100b dalam bentuk moratorium pinjaman, RM55b dalam bentuk jaminan, RM40b pengeluaran KWSP dan RM13b lain2 sumber. Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal langsung sebanyak RM25b, 1.6% daripada KDNK (pada nilai semasa yang sama).
7. Dengan tambahan RM25b ini, defisit fiskal akan meningkat kepada RM99b atau 6.2% daripada KDNK. Saya difahamkan terdapat beberapa langkah peningkatan hasil dan pengurangan perbelanjaan operasi yang dapat mengurangkan defisit fiskal kepada RM74b atau 4.6% daripada KDNK.
8. Defisit 4.6% daripada KDNK ini adalah lebih rendah daripada defisit 6.7% yang pernah dicatatkan pada tahun 2009 semasa negara Malaysia mengalami krisis kewangan global. Ini selaras dengan kenyataan PM bahawa Kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan dan Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.
9. Defisit di bawah paras 5% ini akan mengurangkan tekanan terhadap penarafan kredit antarabangsa Malaysia semasa A3/A- . Ia juga akan memberikan ruang untuk Kerajaan melaksanakan langkah2 tambahan sekiranya wabak Covid-19 berlarutan melangkaui tempoh 6 bulan.
10. Secara keseluruhan, pakej rangsangan yang bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi yang telah diumumkan adalah bertepatan (appropriate) dalam keadaan yang amat sukar, tidak pernah dilalui (unprecedented) dan tidak menentu ini. Marilah kita bersikap membina dan bersama-sama memainkan peranan masing2 mengatasi krisis global ini yang mengancam nyawa, kehidupan dan kesejahteraan kita.
Abdul Wahid bin Omar
28.03.20.
[ARTIKEL BERKAITAN- Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat RM250 bilion ]