Presiden Persatuan PKS Sabah Foo Ngee Kee berkata, pengumuman itu membolehkan para pengusaha PKS untuk menerima subsidi gaji berdasarkan kadar atau melakukan penstrukturan kakitangan dengan perbincangan bersama pekerja.
KOTA KINABALU: Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion memberikan kelegaan kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Presiden Persatuan PKS Sabah Foo Ngee Kee berkata, pengumuman itu membolehkan para pengusaha PKS untuk menerima subsidi gaji berdasarkan kadar atau melakukan penstrukturan kakitangan dengan perbincangan bersama pekerja bagi mengurangkan hari bekerja, bayaran gaji, diberikan cuti tahunan tanpa gaji atau pemberhentian yang mengikut undang-undang sedia ada.
"Saya gembira bahawa permintaan SME dalam negara ini diterima dan banyak cadangan diutarakan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia.
"Presiden SME peringkat kebangsaan Datuk Michael Kang Hua Keong sebelum ini sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Menteri Kabinet Khas dalam mewujudkan pakej PKS ini yang diselesaikan pada hujung minggu, tindakan ini pantas diambil," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kerajaan tidak hanya menumpukan kepada PKS tetapi juga syarikat besar (mempunyai lebih 200 pekerja) untuk memberikan manfaat subsidi gaji bagi mengekalkan para pekerja menerima gaji penuh.
Katanya, sebelum ini angka siling untuk jumlah pekerja adalah 100 orang telah dinaikan kepada 200 orang, ia membolehkan semua PKS di negara ini menuntut subsidi gaji untuk semua kakitangan masing-masing.
Menurutnya, syarikat besar bukan PKS kini turut boleh menuntut gaji subsidi sehingga 200 orang pekerja mereka.
Selain itu katanya, pinjaman mikro oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) juga sangat baik dan ianya berkesan untuk melancarkan aliran tunai terhadap syarikat kecil yang hanya mempunyai kurang daripada lima pekerja atau jualan kurang daripada RM300,000.
Katanya, golongan mikro ini selalunya tidak mempunyai dokumen tertentu untuk memenuhi keperluan bank dan pihak berkuasa.
"Adalah diharapkan BSN boleh memberikan kelonggaran dalam soal dokumen untuk memberikan pinjaman kepada golongan mikro ini.
"Isu utama di sini adalah golongan Mikro perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan geran RM3,000.
"Setahu saya, ramai dalam kalangan mikro tidak berdaftar dengan LHDN dan mereka tidak dapat akses untuk menuntut geran RM3,000 ini," katanya.
Foo mencadangkan mungkin kerajaan boleh mengubah atau memberikan kelonggaran kepada mereka, kini kerajaan hanya memberikan geran berkenaan kepada golongan mikro yang mempunyai lesen perdagangan atau berkaitan.
Katanya, isu lain adalah berkaitan dengan kelulusan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang masih mengalami kelewatan oleh pihak bank walaupun terhadap pelanggan sedia ada.
"Tanpa aliran tunai mencukupi pada waktu tertentu, kelangsungan hidup semua PKS dalam negara ini menerima kesannya," katanya.