Drama lompat parti 12 Mei 2018 selepas ADUN BN lompat Warisan tidak pernah berakhir. Kini bekas ADUN itu mahu kembali. Apakah UMNO/BN akan beri peluang semula untuk mereka? Mereka mendakwa punya wang untuk bertanding tanpa duit UMNO/BN. Benarkah?
KOTA KINABALU – Lapan wakil rakyat Sabah yang bertukar parti dari UMNO ke Parti Warisan Sabah (Sabah) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini mahu kembali kepada BN mencari 'talian hayat' untuk kembali menyertai UMNO.
6 daripada ADUN itu adalah mereka yang memulakan drama 12 Mei 2018 selepas mereka menyertai Warisan dan menyebabkan kerajaan BN tumbang sekalipun Tan Sri Musa Aman pada 10 Mei 2018 mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan terbentuknya kabinet negeri.
Pelbagai laporan media tempatan melaporkan bakal bekas ADUN mahu menyertai UMNO semula itu susulan kemasukan mereka menyertai Tan Sri Musa Aman pada 29 Julai lalu bagi membentuk kerajaan baharu namun gagal selepas pembubaran DUN oleh Shafie Apdal. Selepas pembubaran itu mereka kehilangan arah parti mana mahu ditandingi
Penyertaan semula ADUN Tempasuk, Musbah Jamli; Hamisa Samat (Tanjong Batu); Abd Muis Picho (Sebatik); Osman Jamal (Balung); Bolkiah Ismail (Pitas); Saddi Abdul Rahman (Sukau); Jamawi Jaafar (Kemabong) dan James Ratib (Sugut) sudah tentu mengundang rasa tidak senang pemimpin UMNO/BN yang setia sebelum ini.
Mereka juga punca kerajaan BN runtuh Mei 2018 tetapi mereka juga punca kerajaan Warisan runtuh 29 Julai 2020.
Apakah rakyat mahu mereka kembali atas tiket BN?
Bagi Warisan mereka telah awal-awal mengumumkan tidak mahu lagi menerima pemimpin lompat parti untuk dicalonkan semula dalam PRN Sabah kali ini.
Pertemuan Tan Sri Musa dan Bung Moktar baru-baru ini juga gagal memberi kata putus tentang penyertaan bekas-bekas ADUN itu selain kedudukan Musa sendiri sebagai calon PRN kali ini.
Jamawi Jaafar punya RM5 juta sebagai calon?
Dilaporkan Jamawi turut melobi beberapa pemimpin UMNO untuk kembali kepada UMNO dan beliau bersedia untuk menjadi calon dengan dana yang sedia ada miliknya.
Menurut sumber Jamawi mendedahkan mempunyai RM5 juta tunai untuk bertanding jika diberi peluang oleh UMNO.
Jamawi dilaporkan bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan menyatakan hasratnya. Pada PRU14 yang lalu Jamawi dicalonkan selepas desakan pemuda untuk mencalonkan wakil pemuda. Namun selepas memenangi PRU14 pada 11 Mei Jamawi bersama 6 ADUN lompat ke Warisan menyebabkan BN tumbang.
Walaubagaimanapun kedudukan bekas 8 ADUN ini masih samar berikutan persepsi rakyat menolak pemimpin lompat dan bimbang jika mereka memenangi kerusi lagi maka lompatan terbaru berulang lagi.
KJ Selamatkan Jamawi
Sebelum Jamawi dipilih sebagai calon BN di Kemabong Tenom PRU14, Khairy Jamaluddin ketika sebagai Ketua Pemuda UMNO pada 26 November 2017 telah mengemukakan surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung permohonan status siasatan terhadap kes Jamawi Jaafar
Ia susulan penahanan Jamawi pada 9 Oktober 2017 SPRM bersama Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN), Dato’ Mohd. Azis Jamman dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim berhubung penyelewengan dana awam KKLW berjumlah RM1.5 bilion. Ketiga-ketiga pemimpin politik ini dikaitkan dengan ahli perniagaan Yu Sinkong atau pemilik syarikat Sinkong Contruction Sdn Bhd yang juga telah direman SPRM beberapa hari.
SPRM melalui surat 27 Disember 2017 telah memberi maklumbalas kepada surat Khairy Jamaluddin yang memohon status siasatan SPRM terhadap Exco Pemuda UMNO itu.
“Sukacita dimaklumkan bahaya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penama, Jamawi Jaafar menunjukkan setakat ini tidak ada keterangan yang menunjukkan beliau melakukan kesalahan jenayah dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009”.
[ARTIKEL BERKAITAN- Jika Azis Jamman didakwa Jamawi Jaafar bakal terheret sama? ]
KJ selamatkan Jamawi menggunakan surat SPRM. SPRM terperangkap mengeluarkan surat ini
Selepas memenangi kerusi DUN Kemabong PRU14 Jamawi pada 11 Mei 2018 Jamawi mendedahkan lompat parti beliau ke Warisan sudah mendapat restu Khairy Jamaluddin. Khairy katanya tidak pernah menghalang keputusannya.
Selepas kes rasuah RISDA melibatkan Datuk Peter Anthony dan Michael P Ubu tertangguh sejak 2017 dan kini mereka telah didakwa semula sebelum Jamawi Jaafar kembali 29 Julai menyertai pembentukan kerajaan semula Tan Sri Musa Aman, terdapat gesaan terhadap SPRM segera mendakwa kes Jamawi, Azis Jamman, Ariffin dan Sinkung yang tertangguh itu. Bagaimanapun SPRM buat masa ini tidak melakukannya.
[ARTIKEL BERKAITAN- SPRM digesa buka semula kes rasuah KKLW Jamawi, Azis Jamman terima wang RM11 juta Taikun Sinkong ]
Menjadi persoalan apakah sekali lagi kali ini Khairy Jamaluddin akan menyelamatkan Jamawi Jaafar semula? Apakah Jamawi akan bertanding calon bebas memandangkan dia sudah mempunyai wang sendiri? Atau mungkin ada desakan membawa Jamawi ke dalam UMNO semula.