Pembukaan Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC), Beaufort
13:10 Oct 31, 2020  |  By SabahKini2
Pembukaan Pusat Kuarantin  Rawatan Covid-19 (PKRC), Beaufort

KKM dan JKNS tidak pernah mengabaikan kami, sejak awal pelbagai tunjuk ajar, latihan malah sumber kewangan disalurkan kepada hospital. Kini, PKRC bakal menerima sebuah van 14 seater bernilai RM136k dan alatan komputer bernilai RM42k bagi memudahkan urusan

Rentetan daripada peningkatan kes covid di negeri Sabah secara mendadak sejak pilihanraya pada 26/9/2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah merancang dari awal utk membuka sebuah PKRC bagi memudahkan pesakit-pesakit dari Zon Pedalaman bawah menerima rawatan dengan segera. Hospital Beaufort dipilih untuk bersedia dan merancang sebuah PKRC yang bakal menempatkan pesakit-pesakit berisiko rendah.

Bermula episod, pengurusan hospital memajukan proposal kepada Pegawai Daerah Beaufort, Tuan Abdul Imam Basirun (Tuan DO) untuk cadangan pembukaan PKRC dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon dipilih atas faktor kemudahan fasiliti yang hampir menepati kehendak hospital.

Proposal kami bukan sahaja diterima baik oleh Pihak Pejabat Daerah Beaufort, malah kami berbesar hati, semua jabatan dan agensi sekitar daerah Beaufort memberi sokongan yang padu kepada hospital dalam menyiapkan PKRC dalam masa yang singkat. katil-katil, tilam, bantal malahan pembahagi ruang dibawa masuk ke dalam dewan dan disusun mengikut layout yang pihak hospital sediakan. Pembersihan dewan turut dijalankan bersama anggota APM dan Bomba. kami sangat-sangat terharu. Bukan itu sahaja, Tuan DO menambah kabinet-kabinet pesakit, mesin basuh dan pengering untuk kegunaan pesakit dan petugas. Malahan, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort di bawah pimpinan Dr Natacza banyak memberi sokongan moral kepada pihak hospital dan kami boleh katanya hospital dan pkk Beaufort seperti adik beradik.

Daerah Beaufort yang kecil tp mempunyai pemimpin, NGO dan individu yang berhati besar. Kami turut menerima sumbangan-sumbangan dari pelbagai pihak bagi melengkapkan lagi kemudahan di PKRC. Dengan sokongan jitu dari pelbagai pihak membuatkan kami kakitangan hospital bertambah semangat untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan yang terbaik.

PKRC telah bersedia bila-bila masa untuk menerima pesakit. Kini giliran hospital menyediakan kakitangan dan peralatan perubatan. Kami turut bersyukur, dalam proses ini, pihak KKM membenarkan kakitangan dari Pejabat Pergigian berdekatan untuk turun membantu di lapangan. Maka, Pegawai Perubatan dan Jururawat hospital dapat berkhidmat di PKRC manakala, kakitangan pergigian dapat membantu kerja-kerja di hospital.

Beberapa kakitangan hospital sukarela untuk berkhidmat di PKRC, ya.. mereka berhadapan dengan pesakit positif, tentulah ahli keluarga mereka juga turut bimbang. Tapi, dengan semangat dan semestinya kawalan infeksi yang tegas, mereka bersedia dan pastinya sokongan keluarga juga membakar semangat mereka. Bukan sahaja kakitangan klinikal, malahan pelbagai jawatan turut membantu dalam operasi PKRC. Jurutera membantu persiapan dewan dan membantu mengkoordinasikan perkhidmatan syarikat konsesi, Pegawai Pemakanan merancang diet pesakit-pesakit, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sebagai perantara dengan Pejabat Kesihatan Kawasan dan Pegawai Pendidikan Kesihatan sebagai pengumpulan data pesakit untuk dilaporkan ke JKNS.

7 Oktober 2020, PKRC dengan rasminya menerima kehadiran 3 orang pesakit covid positif. Dengan debaran, kami memulakan langkah. Pegawai perubatan, Penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan malah pekerja pembersihan memulakan tugas. Hari yang tenang, kami menganalisa setiap keperluan tambahan. Latihan dan garis panduan cukup diberikan oleh KKM dan JKNS dari masa ke semasa.

Mesin mudah alih X-Ray mula dibawa masuk, troli ubatan mula dipenuhkan, tiub-tiub pengambilan darah mula disusun rapi. Semua profesion faham akan peranan masing-masing dan menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai rujukan untuk PKRC. Pegawai farmasi, juru x-ray malah MLT banyak membantu kami melancarkan rawatan di PKRC.

Pesakit mulai bertambah dan dihantar daripada daerah Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort sendiri. Kerjasama erat dari 3 daerah zon pedalaman ini harus dipuji. Tanpa berkira, apa yang tidak cukup, apa yang boleh dibantu.. semua memudahkan urusan kesemua pihak. Malah JKNS meluluskan peminjaman kenderaan pejabat pergigian untuk digunapakai oleh pihak Hospital.

Melihat situasi ini, KKM dan JKNS tidak pernah mengabaikan kami, sejak awal pelbagai tunjuk ajar, latihan malah sumber kewangan disalurkan kepada hospital. Kini, PKRC bakal menerima sebuah van 14 seater bernilai RM136k dan alatan komputer bernilai RM42k bagi memudahkan urusan operasi PKRC dan hospital.

Tidak cukup dengan itu, petugas-petugas PKRC tidak dibebani dgn masa bekerja yg memenatkan. Sistem pengiliran yang teratur, masa bekerja dan rehat yang mencukupi, kebajikan makan minum dan elaun yang terjaga malah turut disediakan terapi kaunseling jika mengalami sebarang permasalahan.

Kami bekerja dengan riang, menganggap pesakit kami macam ahli keluarga kami. Kini, kami telah melihat lebih kurang 50 orang pesakit sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga. Pastinya senyuman mereka melegakan hati kami. Kami berbangga menjadi sebahagian pejuang barisan hadapan. Kita belum menang, tapi kita pasti menang.

Semua sokongan dari pihak pengurusan tertinggi KKM dan JKNS adalah tulang belakang kami. Bantuan ikhlas dari pelbagai jabatan dan agensi terutama Pegawai Daerah Beaufort menjadi pembakar semangat kami. Jeritan semangat warga Beaufort dan sekitarnya membuat kami terharu. Dan pastinya air mata pesakit mendorong kami untuk terus ke hadapan.

Maka, nikmat mana yang kau dustakan?

Terima kasih yang tak terhingga dari seluruh warga kerja Hospital Beaufort kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Sutharsan K
Pengarah Hospital Beaufort

 

[ARTIKEL BERKAITAN- RM164 juta dibelanja perangi COVID-19 di Sabah pada Sept-Okt tahun ini - Dr Adham ]

 

3 Comments