Tun M pertahan tol Malaysia dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Sarawak bakal bertol?
21:01 Jan 10, 2018  |  By SabahKini2
Tun M pertahan tol Malaysia dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Sarawak bakal bertol?

Tun Mahathir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut membandingkan kadar tol di Malaysia dengan negara lain sambil berkata ia paling murah di dunia.

PETALING JAYA: Beberapa hari selepas diperli Datuk Seri Najib Razak dengan gelaran “Bapa segala tol”, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan dasar pentadbirannya dahulu untuk mengenakan bayaran ke atas pengguna jalan raya melalui kutipan tol.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut membandingkan kadar tol di Malaysia dengan negara lain sambil berkata ia paling murah di dunia.

Beliau memberi contoh sebuah jambatan di Jepun yang mengenakan bayaran RM540 berbanding kadar tol hanya RM7 untuk perjalanan 2 hala di Jambatan Pulau Pinang.

“Tol di Malaysia sebenarnya kalau dibandingkan dengan negara lain memang jauh lebih murah,” katanya dalam sesi bual bicara mengenai dasar PH di Facebooknya.

“Ketika saya di negara Jepun, saya dapati bahawa satu jambatan (mengenakan) bayaran sebanyak RM270 sehala.

“Pergi balik pula lebih daripada RM500. Fikir-fikirlah sama ada kita terlalu tamak kenakan kadar tol yang tinggi, buatlah perbandingan di mana-mana negara sekalipun, RM7 ringgit dua hala menyeberang daratan dan ke Pulau Pinang adalah amat murah.”

Tun Mahathir berang apabila beliau diperli oleh Perdana Menteri sebagai “bapa segala tol”.

Dr Mahathir memuji dasar projek tolnya sejak sekian lama. Beliau berbangga kadar tol di Jambatan Pulau Pinang juga tidak pernah dinaikkan sejak ia mula beroperasi pada 1980-an. Jambatan Pulau Pinang yang merupakan jambatan terpanjang di Malaysia, mula dibina pada 1982 dan siap 3 tahun kemudian dengan kos RM850 juta.

Najib Tun Razak sedang memadam legasi projek tolnya apabila memansuhkan 4 tol di Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau di Selangor, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Bukit Kayu Hitam, berkuat kuasa awal Januari 2017.


Meneruskan projek Tol mengurangkan kos kerajaan

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan pimpinannya jika beliau menjadi PM semula akan terus mengekalkan projek Lebuhraya bertol serta memberi bantuan kepada syarikat konsesi tol.

“Kita berikan sedikit bantuan supaya kos pembinaan Lebuhraya Utara Selatan ini rendah, maka tidak akan bebankan syarikat pemaju dengan hutang yang terlalu banyak dan kenakan tambang yang murah.

“Inilah sebabnya yang kita dapati Lebuhraya Utara Selatan berjaya menampung kesesakan lalu lintas di masa perayaan.”

Dasar Dr Mahathir PM Pakatan Harapan ini untuk membina dan meneruskan lebuhraya bertol membayangkan PM Pakatan ini tiada halangan untuk melantik konsesi tol lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak nanti untuk menampung kos pembinaannya.

Kerajaan BN melaksanakan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak  lebih 1,000 kilometer dengan kos keseluruhan RM27 bilion dengan RM14.2 bilion negeri Sarawak dan bakinya untuk Sabah. Kos ini dilihat tinggi bagi Mahathir ia tidak harus ditanggung oleh rakyat.

Inilah dasar Dr Mahathir jika menjadi PM Pakatan Harapan nanti.

1 Comment