'IC Projek' KDN sudah semak, siasat dan batalkan - Hamzah
00:12 Dec 03, 2020  |  By SabahKini2
'IC Projek' KDN sudah semak,  siasat dan batalkan - Hamzah

Proses semakan dilaksanakan secara berterusan dan Kad Pengenalan yang dikeluarkan secara tidak teratur dibatalkan atas beberapa sebab seperti kematian, tidak hadir siasatan atau tidak sah

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah melaksanakan semakan semula dan siasatan berhubung daftar kewarganegaraan.

Perkara itu dinyatakan Menteri KDN Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu jawapan bertulis hari ini berkenaan permintaan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) untuk menjelaskan keterangan Jabar Khan berhubung pemberian kad pengenalan biru kepada Pendatang tanpa Izin (PTI) di Sabah.

Difahamkan Jabar Khan membuat keterangan berkenaan 26 Februari 2007 seperti yang terkandung dalam hansard Parlimen.  

Hamzah berkata tindakan itu termasuklah memanggil semula pemegang Kad Pengenalan yang disyaki dikeluarkan secara tidak teratur dan tidak sah. 

“Proses semakan dilaksanakan secara berterusan dan Kad Pengenalan yang dikeluarkan secara tidak teratur dibatalkan atas beberapa sebab.

“Itu termasuklah sebab kematian, tidak hadir untuk siasatan atau permohonan dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan mengikut perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Hamzah berkata kerajaan sudah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah (RCI) pada 06 September 2012 yang antaranya berperanan untuk menyiasat pemberian kad pengenalan biru kepada PTI di Sabah.

“Siasatan dibuat dengan mengambil keterangan saksi namun tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas. 

“Justeru, dakwaan bahawa terdapat kad pengenalan yang diberikan kepada PTI adalah merujuk kepada kad pengenalan yang diperoleh dengan cara yang mencurigakan atau dikeluarkan secara tidak teratur oleh sindiket dan orang yang tidak bertanggungjawab, sebagaimana yang dibangkitkan oleh saksi-saksi dari kalangan ahli politik, penulis, wartawan dan orang awam di dalam prosiding RCI,” katanya.

 
7 Comments