Sinar Baru: Vaksin Pertama Covid-19 Pfizer Biontech Tiba di Malaysia
02:02 Feb 22, 2021  |  By SabahKini2
Sinar Baru: Vaksin Pertama Covid-19 Pfizer Biontech Tiba di Malaysia

Ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia hari ini menandakan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang COVID-19, memberi harapan agar rakyat kembali bersama dalam usaha untuk mengakhiri pandemik itu.


PERJALANAN VAKSIN
 
Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 pada jam 10.00 pagi hari ini, dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

Perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global. Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Vaksin ini (312,390 dos) diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

KETIBAAN VAKSIN DI MALAYSIA

Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer-BioNTech di peringkat global.

YB Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba, YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan YB Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Dato Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan pegawai-pegawai tertinggi dari KKM, MOSTI dan MOT hadir sama menyambut ketibaan pertama vaksin Pfizer-BioNTech ini.


Menteri yang bertanggungjawab mengenai Covid-19 dan Vaksin

MENGENAI VAKSIN COVID-19 YANG DIPEROLEHI MALAYSIA

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021 lalu.

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada 5 pengeluar vaksin COVID-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari yang lalu untuk pembelian vaksin ini, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.

FASA PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN DAN KUMPULAN SASAR

Malaysia akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaanpada 24 Februari 2021 (Rabu ini). Program ini akan bermula dengan suntikan sulung yang akan diterima oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bersama petugas barisan hadapan.
Ada tiga peringkat Program Imunisasi:

Fasa 1 (Februari – April 2021): petugas barisan hadapan;
Fasa 2 (April – Ogos 2021):warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi; dan
Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022): penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
3 Comments