Sabah sedia untuk laksana 'travel bubble'
22:02 Feb 22, 2021  |  By SabahKini2
Sabah sedia untuk laksana  'travel bubble'

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan gelembung perjalanan bergantung kepada keadaan semasa dan sehingga Sabah berada pada tahap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersiap sedia untuk melaksanakan 'travel bubble' dalam tempoh terdekat ini berikutan pembukaan semula sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan gelembung perjalanan bergantung kepada keadaan semasa dan sehingga Sabah berada pada tahap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Katanya, Sabah menyambut baik kelonggaran untuk membuka semula sektor pelancongan dan kebudayaan menerusi operasi pada kadar 50 peratus daripada kapasiti premis dengan penjarakan fizikal.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua pengusaha premis pelancongan supaya membuat persediaan sewajarnya sebelum menerima pengunjung.

"Pandemik COVID-19 ini akan terus bersama dengan kita dalam tempoh masa yang tidak dapat dijangkakan.

"Justeru, kita perlu kekal berdisiplin dengan mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan individu, keluarga dan masyarakat terjamin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, semua pihak termasuk pelancong mahupun pemain industri pelancongan perlu sentiasa peka dengan kesihatan diri dan keadaan sekeliling serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu pihaknya turut berharap program vaksinasi berjalan lancar dan berjaya membendung pandemik COVID-19 seterusnya sektor pelancongan dapat digerakkan semula bagi menjana ekonomi negeri Sabah.

Menurutnya, pelaksanaan vaksinasi secara berkesan akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan, normalisasi aktiviti perjalanan dan pelancongan antarabangsa.

Jafry berkata, antara premis yang diberi kebenaran beroperasi semula termasuklah zoo, akuarium, pusat 'edutainment', taman semula jadi, sukan ekstrem, rekreasi, dan ladang. 

Manakala premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga, dan taman tema luar juga dibenarkan dengan syarat yang sama.- UB

Comment