Permulaan baik untuk Sabah, tetapi masih banyak perlu dilaksana
00:03 Mar 05, 2021  |  By SabahKini2
Permulaan baik untuk Sabah, tetapi masih banyak perlu dilaksana

Kerajaan negeri masih perlu meneruskan bantuan kewangan dengan sewajarnya bagi sektor perniagaan yang terjejas.

Walaupun pentadbiran negeri Sabah yang baru hanya berkuasa selama lima bulan, kesediaan mereka untuk segera melaksanakan projek infrastruktur dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi telah mencetuskan harapan membara rakyat Sabah yang senantiasa berhasrat menikmati pembangunan sosio-ekonomi yang lebih baik.

Ini dapat dilihat apabila Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor komited untuk memperluas liputan 4G dan meningkatkan kelajuan internet di negeri Sabah di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Hajiji juga menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang terdiri daripada usahawan industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGOs) bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri Sabah.

Bagi merealisasikan potensi ekonomi negeri, Hajiji bekerjasama dengan kementerian-kementerian persekutuan sambil memfokuskan penekanan dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Memandangkan sektor pertanian dan perindustrian hanya menyumbangkan sebanyak 16.1% dan 7.6% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2019, ia merupakan langkah strategik bagi kerajaan negeri memberi tumpuan penuh kepada sektor pertanian dan perindustrian.

Ia juga satu langkah bijak kerana mengikuti jejak kerajaan persekutuan dalam merealisasikan agenda hijau dalam Belanjawan Negeri Sabah 2021. Dengan bantuan teknologi pertanian hijau dan moden, ia dapat meningkatkan nilai pengeluaran selain memberi peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah dalam sektor tenaga diperbaharui.

Walaupun Covid-19 dan banjir pada awal tahun 2021 telah menimbulkan kesan negatif kepada rakyat Sabah, tindakan segera Hajiji dalam meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM150 juta bagi memperbaiki 41 jalan yang rosak akibat banjir di seluruh negeri Sabah sangat dialu-alukan oleh rakyat Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin juga berjanji akan memperbaiki jejambat Luyang yang retak dengan segera demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Walaupun kes Covid-19 dapat dikurangkan di negeri Sabah selama beberapa minggu (iaitu, dari 404 kes pada 17 Februari ke 85 kes pada 2 Mac), penutupan sekolah secara berterusan telah memberi cabaran besar terutamanya di kalangan pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar. Mereka masih bergantung pada tempat tertentu untuk menerima akses internet bagi pembelajaran dalam talian.

Guru di kawasan luar bandar juga menghadapi rintangan dalam pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana pelajar mereka mempunyai akses terhad dalam peranti digital atau memilih untuk melangkau pelajaran dalam talian.

Lantaran itu, peruntukan kredit data and komputer riba oleh kerajaan, korporat dan NGO mungkin tidak akan menyelesaikan masalah akses pendidikan di kalangan anak-anak dari luar bandar Sabah secara berkesan.

Tambahan pula, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri sejak pertengahan Mac tahun lalu telah menyebabkan banyak pemain industri pelancongan mula risau atas kesan buruk PKP 2.0.

Walaupun Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) akan memberikan potongan bil elektrik sebanyak 10% bagi pengusaha hotel, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pelancongan dari Januari hingga Mac, Persatuan Pelancongan Sabah (STA), Persatuan Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia menyatakan bantuan tambahan kerajaan masih tidak mencukupi untuk mereka menghadapi iklim ekonomi yang kian mencabar.

Penutupan sempadan antarabangsa dan tempatan secara berterusan mungkin juga akan memaksa lebih banyak hotel dan agensi pelancongan di negeri Sabah  menghentikan operasi secara sementara atau kekal.

Selain pengusaha hotel dan pelancongan, sektor runcit dijangka tetap terkesan. Atas ketakutan dijangkiti virus, ramai rakyat Sabah mengurangkan kekerapan mereka pergi ke pusat membeli-belah sejak akhir September.

Dengan pembeli yang terhad, ramai peruncit tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh atau pada tahap pra-Covid-19. Sebilangan peruncit berasa pesimis atas prospek perniagaan mereka kerana pusat membeli-belah yang kosong dapat dilihat di negeri Sabah semasa Tahun Baru Cina.

Oleh kerana kerajaan negeri tidak membenarkan ‘dine-in’ atau makan dalam premis kedai makanan pada tahap awal PKP 2.0, sebilangan pemilik kedai kopi di negeri Sabah menyatakan perniagaan mereka telah mengalami kerugian sekurang-kurangnya 60%. Pelaksanaan PKP 2.0 secara berterusan mungkin akan mengakibatkan lebih banyak pemilik kedai runcit dan kedai kopi menamatkan perniagaan mereka secara kekal kerana mereka tidak mampu membayar perbelanjaan operasi harian seperti gaji pekerja dan kos utiliti.

Bukan hanya majikan, pekerja yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah boleh dikatakan lebih susah pada hari ini berbanding pada Mac lalu. Dengan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, mereka akan jatuh miskin dan berhutang. Mereka mungkin tidak mampu membeli barang keperluan harian untuk menampung kehidupan mereka.

Daripada semata-matanya bergantung pada pakej Permai yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sabah harus memperkenalkan pakej rangsangan tambahan – memberikan bantuan sementara untuk para pemain industri pelancongan, peruncit, pemilik kedai kopi, golongan berpendapatan rendah dan golongan rentan di negeri Sabah selain menangani masalah pengangguran.

Di samping itu, kerajaan negeri Sabah perlu memperkenalkan lanjutan moratorium secara automatik, subsidi gaji, pengecualian sewa dan pelanjutan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) selama tiga hingga enam bulan lagi kepada sektor ekonomi yang terjejas dalam PKP 2.0 ini. Hal ini dapat memberi ruang bernafas bagi sektor ekonomi yang terjejas dan golongan rentan untuk menghadapi iklim semasa yang tidak menentu ini.

Seperti yang disarankan oleh bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat bekerjasama dengan penyiaran swasta untuk melancarkan program TV pendidikan secara berkesan.

Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan pedalaman atau keluarga yang mempunyai peranti digital dan data kredit yang terhad, tetapi pengajaran juga dapat diulang siar 24 jam.

Beliau juga mencadangkan KPM supaya menyediakan bahan pengajaran yang dirakam kepada sekolah demi memastikan pelajar di kalangan keluarga B40 dan M40 tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka semasa penutupan sekolah.

Walaupun kerajaan negeri Sabah sekarang mempertimbangkan penyediaan alat elektronik kepada pelajar yang kurang berkemampuan di negeri ini, guru juga haruslah mewujudkan hubungan rapat dengan pelajar dari keluarga kurang mampu melalui pengedaran bahan pembelajaran secara fizikal serta mengadakan lawatan ke rumah secara berkala.

Meskipun negeri Sabah akan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 5 Mac ini, kerajaan negeri masih perlu meneruskan bantuan kewangan dengan sewajarnya bagi sektor perniagaan yang terjejas mengatasi kegawatan ekonomi, selain menekankan betapa pentingnya semua rakyat Sabah mematuhi SOP.

Apabila kerajaan negeri Sabah mementingkan keperluan rakyat Sabah, negeri ini akan dapat mengatasi krisis kesihatan dengan lebih berkesan dan mewujudkan lebih banyak pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini.

By Amanda Yeo

Amanda Yeo merupakan Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Sumber: Malaysianow

 

6 Comments