Sering dituduh bergambar dengan pemimpin. Namun tidak kurang juga Dato' Sri Nicky Liow membela pemimpin dan pegawai peguatkuasa. Kini Nicky Liow diburu
Pihak berkuasa terutama di sempadan negara diletakkan dalam situasi berjaga-jaga bagi berdepan sebarang kemungkinan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya sudah meletakkan Nicky Liow dalam senarai sebagai individu dikehendaki.
"Apabila nama ahli perniagaan itu dalam senarai berkenaan, pihak berkuasa di jalan keluar dekat kawasan sempadan, jeti, pelabuhan dan lapangan terbang akan dimaklumkan mengenai situasi berbangkit," katanya hari ini.
Sebelum ini polis melaporkan tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan melarikan diri menggunakan lorong tikus di sempadan negara ini.
Semalam, media melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan yang bakal dilaksanakan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan Nicky Liow selaku suspek utama melarikan diri.
Nicky Liow, 33, dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya.
Dalam 70 serbuan Ops Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang dari 20 hingga 28 Mac lalu, 118 individu diperiksa dan 68 ditahan, manakala wang tunai lebih RM770,000 dirampas.
Dato' Sri Nicky Liow sebelum ini dilaporkan mempunyai orang dalam seperti pegawai dan anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya. Turut berada dalam kawalan lelaki itu adalah Timbalan Pendakwa Raya.
Menurut sumber Dato'Sri Nicky juga dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin tertentu antara yang dikaitkan ialah bekas Timbalan Menteri KDN Datuk Azis Jamman. Beliau dilaporkan kerap bertemu dengan Timbalan Menteri itu ketika menjadi Timbalan Menteri. Beliau gemar menjaga pemimpin yang ada kaitan dengan KDN untuk keselamatan dirinya.