Datuk Isham Ishak lakukan lagi di Kementerian Pengangkutan.
Siapa tidak kenal KSU paling degil dan keras kepala di negara ini. Di mana kementerian dia dicampakkan disitu dia mencipta masalah. Namun kabelnya kuat. Biasanya mana-mana KSU berhadapan isu termasuk siasatan SPRM biasanya akan di ‘pool’ atau dipindahkan ke jawatan lain tetapi Datuk Isham Ishak dia boleh berpindah tempat dari KSU MITI, MOTAC hinggalah MOT.
Di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Menterinya ketika itu Datuk Darell Leiking menyingkirkannya dari kementerian kerana asyik ikut kepala dia. Semua sapu beri kepada kroni. Akhirnya dipindahkan ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Di MOTAC beliau membingungkan Datuk Mohammadin Ketapi dengan pelbagai isu di Kementerian sehingga ke tahap menubuhkan High Level Taskforce On Tourism (HLT) memasukkan kroninya membelakangkan Menteri. Betapa bengang Menteri Pelancongan ketika itu terhadap KSU. Sabahkini2 pernah mendedahkan siapa Datuk Isham Ishak. Kes kesilapan terbesarnya ketika menjadi KSU MOTAC ialah meluluskan bayaran RM35 juta kepada GEEKO yang disiasat SPRM .
[BACA ARTIKEL BERKAITAN-
Syarikat kroni digagalkan, Timbalan Menteri, KSU MoTAC serang Menteri guna ‘Surat Layang’
KSU MOTAC luluskan bayaran RM35 juta kepada GEEKO yang disiasat SPRM kontrak RM99.7 juta!
Bayaran RM35 juta: Datuk Isham KSU MOTAC ditahan SPRM bakal direman?
Kes itu kecoh pada bulan Ogos 2019 apabila Datuk Isham Ishak disiasat SPRM dan dilaporkan dalam media perdana. Hanya Sembilan bulan bertahan di MOTAC selepas siasatan SPRM beliau dipindahkan ke Kementerian Pengangkutan (MOT).
Tidak seperti KSU Kementerian Pertanian Asas Tani, Dato' Mohd Sallehhuddin Hassan kerana isu rundingan terus RM1.4B Projek NAFAS beliau disejukbekukan di JPA sebelum dilantik TKSU di JPM. Tapi Datuk Isham Ishak luar biasa beliau sangat istimewa dan kekal sebagai KSU di kementerian lain.
Laporan media Ogos tahun 2019
Isham Ishak pencatur di MOT
Di MOT nampaknya dia buat lagi. Dari Menteri Pengangkutan DAP Anthony Loke hingga Menteri dari BN-PN Isham Ishak kekal dengan caranya seperti di MITI dan MOTAC. Beliau menentukan semuanya menggunakan alasan peraturan sedia ada. Jika para menteri tidak mengetahui pekeliling perbendaharaan, kuasa Akta Fungsi Menteri dan Akta Kontrak serta penurunan kuasa maka akan menjadi makanannya. Alasan beliau 'Menteri datang dan pergi' tetapi KSU kekal di mana-mana.
Apa KSU buat? Seperti biasa Projek Rundingan Terus. Sama ada beliau menasihati menteri pengangkutan atau tidak yang pasti beliau menandatangani projek rundingan terus.
Sejak sekian lama dari Zaman BN, PH dan PN Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) menasihatkan dan menggesa kerajaan melaksanakan tender terbuka bagi mengurangkan lambakan pembelian set tren dari China. Projek Rundingan Terus daripada China dilihat memberi masalah besar kepada KTMB. Sudah RM5.7 bilion lebur bagi membeli 100 unit tren tanpa tender terbuka daripada syarikat kereta api China sejak tahun 2012.
Presidennya, Abdul Razak Md Hassan bagi pihak kesatuan menolak pembelian set tren seperti Lokomotif Dalian dan Six Car Set (SCS) yang diketahui mempunyai banyak masalah. Namun kerajaan tetap membeli juga tren daripada China itu. Nasihat KSU MOT ini ialah kekal beli. Siapa Menteri Pengangkutan pun dia tak kisah. Kuasanya ialah memilih kontraktor.
Ketika Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, beliau sangat memuji pengeluar lokomotif China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) kononnya hub pembuatan keretapi pasaran ASEAN. Katanya ia pelaburan yang baik untuk negara.
Apa jadi selepas itu? akhirnya China Railway Rolling Stock Corp kerana pilihan Datuk Isham Ishak konsisten CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd dilantik untuk pembelian Projek The Design, Manufacture, Delivery, Testing And Commissioning of Ten (10) Sets of 6-Car Intercity Electric Multiple Unit (EMU). Berapa ratus juta agaknya terbang lagi?
Usaha sama (JV) antara Destini Bhd dan KTMB
Satu lagi isu yang kontroversi di bawah tangan Datuk Isham Ishak ini ialah projek JV Destini Bhd dan KTMB bagi mengembangkan keupayaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam sektor rel.
Melalui perjanjian ini Destini mendapat 70 peratus kepentingan dalam ETSB, anak syarikat milik penuh tidak langsung KTMB, melalui anak syarikatnya yang dimiliki 100 peratus, Destini Rail Sdn Bhd. Baki pegangan saham 30 peratus akan dipegang oleh KTMB melalui anak syarikat milik penuhnya, KTMB Technics Sdn Bhd.
Susulan daripada perjanjian monopoli pegangan saham itu awal mac lalu Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kemungkinan wujud salah laku dari sudut pecah amanah, salah guna kuasa, tidak berintegriti atau mungkin ada unsur-unsur rasuah.
Persoalannya beranikah sekarang SPRM menyiasat Destini Berhad? Kerana kabel besarnya bukan alang-alang termasuk juga KSU MOT!
Mengapa Destini Berhad?
Siapa tidak kenal DATO' ROZABIL BIN ABDUL RAHMAN pemilik Destini Berhad bekas pemimpin UMNO yang kini menjadi proksi terkemuka mana-mana pemimpin. Banyak lagi kontroversi jika carian nama Dato' Rozabil dicari.
Persoalannya sejauh mana Destini berkemampuan untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam sektor rel?
Dato' Rozabil Abd Rahman
Seperti yang dipertikaikan RUM, Nilai 70 % saham untuk Destini telah menimbulkan keraguan yang munasabah berdasarkan syarikat Destini bukanlah sebuah syarikat yang kukuh dari sudut kewangannya malah "cash flow" dilaporkan dalam keadaan lemah, manakala dari sudut kepakaran bidang kejuruteraan perkeretapian, pihak kesatuan beranggapan nilai keupayaan syarikat berkenaan adalah dibawah 10% itu pun berdasarkan urusan pentadbiran, dari sudut lain Destini tidak mempunyai kepakaran tenaga kerja malah tidak mempunyai fasiliti untuk membangun produk kejuruteraan perkeretapian, dalam kalendar kejuruteraan keretapi di negara ini, apatah lagi diluar negara Destini tidak mempunyai sebarang pengelibatan atau mempunyai nama yang boleh membuktikan Destini mampu menceburi dibidang kejuruteraan perkeretapian.
Berbanding dengan KTMB yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan, malah telah berkecimpung dalam industri perkeretapian lebih 130 tahun di negara ini, malah mempunyai tenaga kerja yang mahir serta fasiliti yang sudah cukup untuk untuk menjadi pengeluar seperti koc, wagon malah lokomotif, dari sudut set - set tren seperti Electric Tren Set (ETS) dan Six Car Set (SCS) telah mencapai kemajuan "maintenance" level 1 dan level 2 malah level 3 dan 4 boleh dilaksanakan sekiranya beberapa kekurangan dari sudut kepakaran dan teknologi ditambahbaikan.
Dari sudut kewangan, tidak dinafikan KTMB kekurangan, namun bukanlah satu masalah kerana KTMB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan, ini bermakna Kementerian Kewangan boleh memperuntukkan kewangan yang mencukupi untuk membangun kerja - kerja yang melibatkan kejuruteraan KTMB, malah kosnya adalah lebih murah berbanding dengan "outsource" mahupun dari sudut "joint venture" (JV), dari sudut ini di mana kewajaran KTMB dengan nilai 30% saham?
Ia sangat berbeza Joint Venture KTMB MMC Cargo Sdn Bhd dengan pegangan saham KTMB 51% manakala MMC dengan pegangan saham 49%, kedua syarikat mempunyai kekuatan dan kelebihan yang sama atau lebih kurang.
Dari mana idea 70% Destini dan 30 % KTMB ini?
Satu persoalan besar ialah mengapa KSU MOT, KTMB tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kerjasama ini sebagaimana Destini Berhad?
Sumber mendedahkan Destini Berhad sekarang sedang mencari pelbagai syarikat untuk menjayakan projek selenggaraan ini. Jika ada syarikat boleh dibeli mereka akan membeli syarikat itu. Ini kerana Destini tidak mempunyai fasiliti menguruskan projek selenggaraan ini.
Ada banyak persoalan lain juga bagaimana syarikat Destini yang sebelum ini kontroversi dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan Jun 2019 bagi membekal helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), McDonnell Douglas bernilai lebih RM321 juta pada 2016 lambat diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu hanya pada tahun 2020. Destini Berhad sebelum ini membeli syarikat Halaman Optima Sdn Bhd yang memperolehi kontrak itu. Siapa dibelakang syarikat Halaman Optima Sdn Bhd? Anda boleh buat carian sendiri.
Menteri Pertahanan ketika itu Mat Sabu mahu menamatkan kontrak Destini Berhad namun sukar kerana perlu membayar pampasan jutaan ringgi kepada syarikat. Mungkin beliau dinasihatkan tidak meneruskan serangan kepada Destini kerana itu hanya akan merugikan Kementerian. Pembekalan itu akhirnya diteruskan. Bagaimanapun apa jadi siasatan SPRM kes itu? Bukankah Dato' Rozabil dan beberapa pemimpin lagi telah dipanggil SPRM termasuk bekas Pengarah Urusan syarikat Halaman Optima Sdn Bhd?
Destini Berhad Syarikat bermasalah. Bagaimana mungkin mereka tidak bermasalah ketika mengurus selenggaraan KTMB yang sentiasa mencabar.