Selepas ambilalih Silterra daripada Khazanah, saham DNeX melonjak
22:04 Apr 02, 2021  |  By SabahKini2
Selepas ambilalih Silterra daripada Khazanah, saham DNeX melonjak

DNeX dan firma China, Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (CGP Fund) meterai perjanjian jual beli saham bersyarat (SSPA) dengan Khazanah bagi mengambil alih SilTerra pada harga RM273 juta

KUALA LUMPUR: Saham Dagang NeXchange Bhd (DNeX) meningkat susulan pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, SilTerra Malaysia Sdn Bhd.

Pada penutup dagangan hari ini, saham DNeX berada 92 sen, 1.65 peratus atau 1.5 sen lebih tinggi berbanding penutup hari sebelumnya.

Ia muncul saham keempat paling cergas diniagakan sepanjang dagangan hari ini.

DNeX dan firma China, Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (CGP Fund) pada Rabu memeterai perjanjian jual dan beli saham bersyarat (SSPA) dengan Khazanah bagi mengambil alih semua kepentingan dalam SilTerra pada harga RM273 juta.

Pertimbangan pembelian untuk 60 peratus kepentingan DNeX bernilai sekitar RM163.8 juta, yang akan dibiayai melalui gabungan hasil yang akan diperoleh dari cadangan penempatan swasta, secara dana dalaman dan atau pinjaman.

DNeX dan CGP Fund juga akan melaksanakan suntikan modal sekitar RM200 juta.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM150 juta akan digunakan terutama sebagai perbelanjaan modal bagi meningkatkan keupayaan peralatan dan pembuatan SilTerra dalam teknologi baharu manakala selebihnya diperuntukkan untuk modal kerja.

Berdasarkan jumlah suntikan modal dan kepentingan ekuiti, DNeX dijangka memberi suntikan modal sebanyak RM120 juta.

Perolehan kepentingan itu dijangka selesai pada akhir suku kedua 2021 dengan suntikan modal akan dilaksanakan dalam tempoh 180 hari selepas itu.

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pengambilalihan kepentingan itu adalah bukti kekuatan dan kemampuan kumpulan sebagai pakar pemulihan, sekali gus mampu mencipta nilai baharu dalam SilTerra.

"Kami yakin SilTerra boleh bangkit dalam situasi semasa pasaran semikonduktor global dan memberikan prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun mendatang.

"DNeX menetapkan jangka masa dua tahun untuk pemulihan SilTerra dan membawa syarikat itu kembali kepada keuntungan," katanya.

Syed Zainal berkata, DNeX merancang untuk mengintegrasikan kerjasama dengan CGP Fund bagi memberi akses baharu dalam memasarkan, memindahkan teknologi baru dan mengoptimumkan operasi serta sumber pengurusan yang ada seiring dengan landskap perniagaan baharu.

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan bertindak sebagai jambatan yang membawa ekosistem peserta teknologi antarabangsa ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan negara sebagai penyedia penyelesaian global.

Beberapa bulan lalu perang pembelian SilTerra antara  Dagang NeXchange Berhad  (DNeX-Bumiputera) dan Green Packet (Bukan Bumiputera) begitu sengit bagaimanapun DNex memenangi bidaan itu.

 

Comment