Petugas Gereja cetus Kluster Baharu 'Belacon' di Sabah
15:04 Apr 07, 2021  |  By SabahKini2
Petugas Gereja cetus Kluster Baharu 'Belacon' di Sabah

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster terbabit mencatatkan 17 kes dengan kes indeks adalah lelaki berusia 22 tahun yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di sebuah klinik, pada 31 Mac lalu.

KOTA KINABALU: Seorang petugas gereja warga asing yang dijangkiti COVID-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, semalam iaitu Kluster Belacon membabitkan daerah Lahad Datu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster terbabit mencatatkan 17 kes dengan kes indeks adalah lelaki berusia 22 tahun yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di sebuah klinik, pada 31 Mac lalu.

“Susulan kes ini, saringan terhadap 195 orang yang juga kontak rapat serta pengunjung gereja mendapati 16 kes positif, manakala 137 individu didapati negatif saringan pertama dan 42 individu lagi masih menunggu keputusan.

“Kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang petugas gereja bukan warganegara berusia 54 tahun yang berasal dari Tawau dan mula bergejala sejak 25 Mac lalu.

“Beliau didapati positif pada 4 April lalu hasil saringan kontak rapat di sebuah klinik. Semua kes positif dalam kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di daerah terbabit.

“Kontak rapat yang lain diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sepagaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, jumlah kes harian COVID-19 di Sabah kembali mencatatkan tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 112 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,234 kes dan tiga kes kematian direkodkan masing-masing satu di Tawau, Tenom dan Putatan.

 

6 Comments