Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan aktivis Fahmi Reza susulan hantaran penghinaan melampaunya terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Fahmi Reza diberkas kira-kira pukul 7 malam tadi dirumahnya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan penahanan Fahmi
Bagaimanapun, menurut Mohamad Zainal, siasatan akan dijalankan pasukan penyiasat Bukit Aman.
“Dia ditahan di lokap IPD ini namun siasatan dilakukan oleh Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Terdahulu, pengguna media sosial di Malaysia terkejut setelah Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Istagram miliknya selepas tanda pagar #DengkiKe sohor kini dalam laman Twitter.
Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.
Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘This is dengki ke?’ di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.
Fahmi Reza sejak sekian lama aktivis PH yang terkenal dengan cara infografik menghina pemimpin, pegawai kerajaan, kementerian dan institusi raja. Beliau tidak pernah serik bertindak demikian.
10 Mac lalu Fahmi Reza turut disiasat polis atas tuduhan fitnah berhubung dua karikatur merujuk kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba. Fahmi disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.