KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, Pesta Kaamatan ialah wadah penting untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan rakyat untuk membawa negeri itu ke tahap pembangunan lebih tinggi.
“Pesta Kaamatan adalah perayaan penting bagi Sabah, khususnya kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta etnik lain di negeri ini.
"Pesta kaamatan yang membawa mesej pendamaian dan keamanan, perlu dijadikan asas untuk rakyat terus bersatu serta memperkasa semangat perpaduan yang sedia terjalin khususnya negeri Sabah yang sentiasa menjadi model perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bersempena pembukaan Majlis Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah, menerusi kiriman video di Dewan KDCA, Penampang, hari ini.
Sambutan Kaamatan yang bertemakan “Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Perdamaian dan Keamanan” itu turut disiarkan secara langsung di Facebook.
“Apa yang penting, kita harus berwaspada dan sentiasa mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat disekat.
“Saya ingin mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat Sabah sentiasa bersama kerajaan demi kesejahteraan dan kemajuan negeri ini. Marilah kita memberi sokongan padu kepada kerajaan agar usaha untuk membangun dan memajukan negeri ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.”