Dr Mahathir dulu dikata ‘diktator’ sekarang tidak- Muhyiddin
14:01 Jan 24, 2018  |  By SabahKini2
Dr Mahathir dulu dikata ‘diktator’ sekarang tidak- Muhyiddin

Muhyiddin berada di Sabah sebagai utusan memujuk PKR, PCS dan DAP dalam rangkaian PH untuk berpakat dengan Warisan.Terbukti Warisan agen PPBM?

DR Mahathir Mohamad tidak akan sama seperti ketika beliau menjadi perdana menteri sebelum ini, jamin timbalan pengerusi Pakatan Harapan Muhyiddin Yassin. 

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, di bawah PH, keputusan perdana menteri berpandukan majlis presiden yang terdiri daripada pemimpin dari DAP, PKR, Bersatu dan Amanah. 

"Walaupun Tun (Mahathir) sudah dinamakan oleh empat parti ini, kami percaya beliau akan bertindak mengikut kemahuan pakatan. 

"Beliau akan mengikut dasar yang dipersetujui majlis presiden PH. Jawatan itu tidak akan sama dengan perdana menteri Barisan Nasional, yang beliau pegang selama 22 tahun ketika masih bersama BN," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini. 

Terdapat kritikan yang mengatakan bekas perdana menteri itu menjadi diktator ketika pentadbirannya dan pemilihannya sebagai calon perdana menteri PH mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pimpinan pakatan itu. 

Muhyiddin berkata perdana menteri PH bertanggungjawab memastikan manifesto PH disampaikan, dan jawatan itu tidak boleh dipegang melebihi dua penggal. 

"Berhubung perkara seperti dasar, sebelum ia dibawa ke kabinet, ia akan dibentangkan kepada majlis tertinggi PH dahulu.

"Dr Mahathir akan menyatakan pandangannya, dan pemimpin PH yang lain juga akan melakukan perkara yang sama. Tugasnya sebagai perdana menteri juga berpandukan apa yang dijanjikan kepada rakyat," katanya. 

Katanya, mana-mana pihak yang menyimpan dendam terhadap Dr Mahathir perlu berfikir semula dengan tindakan mereka, dan mengatakan perjuangan PH adalah untuk menyelamatkan negara.

Rakyat Sabah menyalahkan Dr Mahathir berhubung beberapa isu seperti penglibatan beliau dalam kebanjiran pendatang asing dan memberikan kerakyatan kepada mereka menerusi "Projek IC".

 Sumber asal: TMI

2 Comments