STAR gantung Philip Among dakwaan mencabul peserta Unduk Ngadau
08:06 Jun 03, 2021  |  By SabahKini2
STAR gantung Philip Among dakwaan mencabul peserta Unduk Ngadau

Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi berkata dua laporan polis dibuat terhadap Philip Among iaitu dakwaan mencabul Peserta Unduk Ngadau dan ugutan terhadap pengawal keselamatan di Dewan KDCA

KOTA KINABALU: Selepas tular dakwaan salah laku ketika sambutan Kaamatan, baru-baru ini, Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star)mengumumkan menggantung Philip Among penyelaras Parlimen Putatan susulan dakwaan berlaku kasar dan gangguan seksual.

Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi, berkata setakat ini dua laporan polis dibuat terhadap individu terbabit termasuk dakwaan mencabul salah seorang peserta Ratu Kaamatan atau lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau.

Beliau berkata, satu lagi laporan polis terhadap individu berkenaan berkaitan ugutan terhadap pengawal keselamatan di Dewan KDCA, di Penampang, ketika salah satu pertandingan sempena Kaamatan diadakan.

“Merujuk kepada isu yang sedang hangat diperkatakan mengaitkan nama parti STAR pada masa ini, saya meminta agar semua pihak mengambil masa untuk bertenang.

“Parti STAR mengambil berat perkara ini kerana STAR adalah Parti yang berperlembagaan dan segala perkara hendaklah diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam parti.

“Sehubungan itu, STAR telah menggantung jawatan ahli yang didakwa itu sebagai penyelaras parti di sebuah kawasan Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Guan Dee yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, tindakan seterusnya akan diambil selepas lembaga disiplin parti bersidang sama ada individu terbabit digantung keahliannya atau dipecat terus daripada parti.

Katanya, tindakan itu juga membuktikan STAR sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan semua pihak terutama ahli parti.

Siasatan Polis

Sementara itu Polis Saabah mengesahkan menyiasat laporan peserta  Unduk Ngadau yang mendakwa telah dicabul salah seorang jawatankuasa penganjur pertandingan itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata pengadu atau mangsa dalam laporan berkenaan juga akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan yang dilakukan tidak akan mengambil kira latar belakang sesiapa saja termasuk individu yang didakwa.

“Tidak kiralah siapa pun, undang-undang tetap akan dikuatkuasakan, sesiapa pun tidak boleh melangkaui undang-undang, kita akan siasat,” katanya ketika dihubungi.

24 Comments