Lompat Parti: Maximus doa Azmin kalah mahkamah tapi jawatan menteri hasil 'Langkah Sheraton' sebagai rezeki?
03:07 Jul 05, 2021  |  By SabahKini2
Lompat Parti: Maximus doa Azmin kalah mahkamah tapi jawatan menteri hasil 'Langkah Sheraton' sebagai rezeki?

Langkah Sheraton beri manfaat kepada pemimpin Gabungan PN. Bagaimanapun isu lompat parti Azmin dibawa ke mahkamah. Ramai bersorak termasuk PBS. Lompat parti adalah demokrasi tiada undang-undang boleh menyekatnya.

Penghujung Jun lalu  Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali gagal membatalkan tuntutan yang dikemukakan oleh 10 pengundi kawasan berkenaan terhadapnya kerana didakwa melanggar kewajipan fidusiarinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir menolak permohonan Azmin untuk membatalkan tuntutan berkenaan dengan alasan ada isu yang perlu diadili sebelum perbicaraan penuh. Mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes dari 7 hingga 10 Jun 2022.

Azmin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, diwakili oleh peguam Nizamuddin Abdul Hamid, sementara Yohendra Nadarajan dan Surendra Ananth mewakili pengundi.

Kumpulan pengundi tersebut dalam tuntutan mereka berkata, Azmin mempunyai kewajipan fidusiari dan merupakan pemegang amanah bagi kawasan pilihan rayanya itu.

Mereka mempertikaikan bahawa Azmin meninggalkan PKR dan mengatur “Langkah Sheraton” untuk kepentingan diri dan kemajuan politiknya sendiri, bukan sebagai manfaat bagi konstituennya.

Hujah mereka, Azmin tidak perlu mengenali setiap kawasan pilihan rayanya untuk beliau menjalankan kewajipan fidusiarinya kerana mereka memilihnya berdasarkan prinsip bahawa seorang Ahli Parlimen berkhidmat untuk semua orang.

Sekalipun mahkamah menolak permohonan Azmin, Hakim Akhtar turut menolak permohonan pengundi untuk menghapus perenggan tertentu dalam kenyataan bela oleh Azmin yang berkait tuduhan salah laku seksual Anwar Ibrahim dan amalan nepotisme dalam PKR.

Perbicaraan Azmin melawan 10 pengundi yang mencabarnya di mahkamah adalah sebahagian daripada demokrasi. Ia satu bukti tiada sesiapa dihalang untuk mencabar di mahkamah. Menang atau kalah tertakluk bukti masing-masing di mahkamah.

Harapan PBS Azmin kalah

Sementara itu dendam PBS yang tidak pernah padam terhadap ‘ lompat parti’ menyebabkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Azmin Ali untuk membatalkan saman difailkan 10 pengundi di Gombak.

Katanya, PBS berdoa agar keputusan perbicaraan yang akan bermula tahun depan itu akan memihak kepada pengundi Gombak yang memfailkan saman berkenaan.

“Keputusan itu menggambarkan bahawa keadilan akhirnya ditegakkan dan kita berdoa agar keputusan perbicaraan itu akan memihak kepada pengundi Gombak.

PBS kata Langkah Sheraton tak bagus tapi langkah itulah menyebabkan PBS dan rakan adunnya
mendapat jawatan dalam kerajaan PN sekarang

“Sejak penubuhan parti 36 tahun yang lalu, PBS tidak pernah berhenti bersuara menentang pengkhianatan yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat dengan melompat parti tanpa merujuk kepada pengundi mereka,” katanya dalam dalam satu kenyataan semalam.

Bagi PBS jika Azmin tewas di mahkamah ia boleh dijadikan ‘precedent case’ menetapkan standard baharu dalam tingkah laku wakil rakyat dan kualiti perkhidmatan mereka.

“Dalam ucapan sulung saya di Parlimen pada bulan Jun 1995, ianya tertumpu kepada kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994, selepas hanya lima minggu berkuasa, disebabkan oleh politik ‘katak’.

“Ia memang peristiwa politik yang dahsyat bagi Sabah apabila sebuah kerajaan yang terpilih ditumbangkan disebabkan amalan politik yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat yang dipilih dan dilantik,” katanya menggambarkan dendam tidak pernah padam itu.

Sehingga kini parti itu masih berpendapat hanya Parlimen yang mampu mengharamkan perbuatan seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri terpilih untuk melompat parti tanpa kembali kepada pengundi menerusi pilihan raya kecil (PRK).

“Malangnya, amalan melompat parti masih berlaku sehingga hari ini dan saya tabik hormat kepada keputusan mahkamah tinggi, amalan lompat parti adalah tidak adil, dan tidak dapat dimaafkan.

“PBS berharap keputusan ini dapat menghentikan amalan politik katak di Parlimen dan DUN pada masa akan datang,” katanya.

 

Lompat parti dibenarkan ‘demokrasi’

Keputusan wakil rakyat yang memilih untuk melompat parti tidak boleh dihalang memandangkan ia adalah hak kebebasan mana-mana ahli politik selain kebebasan dalam sistem demokrasi bukan sahaja di dalam negara ini malah di seluruh dunia.

Itu yang ditegaskan oleh Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr Shamrahayu A Aziz sebelum ini bahawa tiada kepentingan untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti buat masa ini malah pada masa depan

“Kita tidak memerlukan akta ini kerana ia dapat menunjukkan bahawa kebebasan mana-mana wakil rakyat untuk bersuara sama ada dia bersetuju dengan partinya atau tidak.

“Terma ‘crossing party’ ini adalah hak kebebasan mana-mana ahli politik untuk mempunyai kebebasan dalam sistem demokrasi.

“Walaupun ada yang berpendapat bahawa tindakan tersebut sebagai mengkhianati rakyat yang memilih mereka tetapi perlu dilihat sistem sesuatu parti politik itu sendiri yang menyebabkan ahlinya menukar parti,” katanya

Tegasnya, hanya negara yang belum mencapai tahap matang dalam sistem demokrasi yang menggunakan Akta Anti Lompat Parti.

“Pada pendapat saya, untuk negara kita, tiada keperluan yang mendesak untuk menggubal akta ini kerana saya percaya kematangan sistem parti politik yang memberi kebebasan kepada ahlinya untuk bersuara.

Tiada Polis dan SPRM boleh menghalang lompat parti

Sejak zaman BN, PH dan kini PN tidak ada satupun boleh menghalang pemimpin lompat parti. Malah Ketika PH berkuasa rakyat sendiri melihat bagaimana PH membenarkan ahli parlimen BN atau Adun melompat atas sebab ugutan dan  tawaran jawatan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri amat sukar membuktikan unsur rasuah atau melibatkan pembayaran wang oleh pihak tertentu.

Drama kejatuhan PBS pada tahun 1994 di Sabah antara bukti popular kisah lompat parti yang diingati yang menyebabkan BN berkuasa sehingga PRU14.

Krisis politik Perak 2009 apabila Adun PKR keluar parti menyebabkan BN berkuasa. Drama yang tidak kurang hebatnya ialah rampasan kuasa Shafie Apdal dan Warisan pada 12 Mei 2018 apabila sekumpulan Adun BN melompat keluar menyertai kerajaan Warisan. Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah 10 Mei diturunkan secara paksaan oleh campurtangan Dr Mahathir ketika itu sebagai PM8.

Pernah juga Warisan meminta SPRM menyiasat Dr Jeffrey Kitingan kononnya telah menerima RM20 juta daripada Tan Sri Musa. Rumahnya diserbu dan tidak ada satupun penemuan wang yang didakwa rasuah namun adun BN yang melompat sertai Warisan tidak pula pernah disiasat

Begitu juga pemimpin BN lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14. Semuanya tenang saja diposisi ketika Dr Mahathir berkuasa.

Selepas saja PN mengambil alih tampuk kerajaan pusat pada penghujung februari 2020 beberapa negeri seperti Perak, Kedah Johor dan Melaka bertukar kerajaan selepas Adun PH keluar parti.

Kerajaan Warisan sepatutnya tumbang pada 29 Julai 2020 selepas 14 Adun Sabah menyertai kem Tan Sri Musa Aman namun Shafie membubarkan  DUN Sabah pada 30 Julai 2020. Bagaimanapun Warisan tewas dalam PRN September 2020.

Oleh itu lompat parti bukan sesuatu yang asing dan salah di negara ini. Tidak ada satu kerajaan yang berkuasa pun sama ada BN, PH dan PN menggubal  Akta Anti Lompat. Sebelum berkuasa semua boleh bercakap apabila berkuasa semua pemerintah memanfaatkan sesiapa saja yang mahu lompat parti atau menjadi wakil rakyat bebas.

Lompat parti bukan dihadapi di Malaysia saja.  Di luar negara juga berlaku lompat parti. Apa negara maju yang melompat parti itu tidak maju dan tidak demokratik?

Hampir semua negara demokratik ada lompat parti. Negara seperti Brazil, Itali, Romania, Ukraine, India, Filipina dan New Zealand turut berdepan masalah ahli Parlimen lompat parti.

Di New Zealand, istilah khas bagi wakil rakyat melompat parti di negara itu adalah ‘waka-jumping’, bersamaan dengan istilah ‘katak’ yang digelarkan kepada wakil rakyat Malaysia yang melompat parti.

Di Amerika Syarikat pada tahun 1994, tujuh orang Ahli Kongres Demokrat melompat ke Republikan. Tahun 2001 pula Ahli Kongres Republikan terkenal Jim Jeffords melompat ke Demokrat sehingga Republikan kehilangan majoriti dan menyebabkan Senate dikuasai oleh Demokrat.

Di Australia Perdana Menteri sendiri lompat parti. Di Itali purata 25 % Wakil Rakyat lompat parti. Di Turki juga berlaku. Kubilay Uygun di Turkey terkenal kerana lompat parti banyak kali di Grand National Assembly of Turkey. Di Negara Filipina lompat parti amalan biasa.

Lompat parti adalah demokrasi. Siapa berkuasa akan menggunakan tekanan menarik mana-mana wakil rkayat mengukuhkan parti mereka dan kerajaan.

Oleh itu harapan PBS kepada mahkamah tinggi untuk Azmin Ali tewas hanyalah sekadar harapan menyelesaikan dendam lama 1994 yang tidak berbalas.

Jika Azmin berjaya menewaskan 10 pengundi yang mencabarnya di mahkamah precedent case yang diharapkan PBS sudah tentu berkubur juga.

Apa yang pasti amat sukar menghalang hak seseorang keluar atau menyertai parti lain.

Rasanya sesiapa juga termasuk Azmin akan menang jika kes ini di bawah di mahkamah nanti selagi tiada Akta Anti Lompat digubal di parlimen.

Namun apa perlunya komen Maximus Ongkili sedemikian rupa ketika PN sedang bergoyang?

 

 

 

 

 

10 Comments