Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dijenamakan semula sebagai KR1M 2.0 sudah dibuka dan pelancaran rasmi akan diadakan di Temerloh, Pahang pada 4 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebanyak 50 KRIM 2.0 dibuka setakat ini, antaranya di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Saya mendapat maklumat KR1M yang baharu itu mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat.
“Kita akan menukar papan tanda kedai yang asal dengan jenama baharu selepas pelancarannya bulan depan,” katanya
Hamzah berkata, konsep KR1M 2.0 sedikit berbeza daripada KR1M asal yang berkonsepkan pasar mini, dengan menawarkan pelbagai pilihan barangan keperluan harian pada harga 30% hingga 50% lebih murah berbanding harga pasaran.
Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya akan mengadakan program Jualan Sentuhan Rakyat sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.
Katanya, program tersebut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta pasar raya.
“Program ini diterima baik rakyat kerana ia merupakan salah satu cara untuk kita menangani masalah kenaikan harga oleh orang tengah,” katanya sambil menambah program tersebut wajar diadakan sekurang-kurangnya 2 kali sebulan.