Dalam satu kenyataan Istana Negara, Agong menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua ordinan, walhal belum lagi diperkenan baginda, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.
Dalam satu kenyataan Fadil berkata, Agong menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.