Sabah beli vaksin sendiri kata Masidi Manjun
16:08 Aug 12, 2021  |  By SabahKini2
Sabah beli vaksin sendiri kata Masidi Manjun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, inisiatif ini akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk membeli vaksin Covid-19 sendiri bagi menampung kekurangan sementara bekalan itu di negeri berkenaan.

Katanya, keputusan itu juga dibuat sebagai persediaan kepada sebarang gangguan bekalan vaksin yang boleh menjejas usaha negeri itu untuk mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata, Kabinet negeri mengambil maklum bahawa mengikut sumber-sumber yang sahih, ada kemungkinan bekalan vaksin Pfizer akan mengalami gangguan pengeluaran yang memberi impak kepada negara-negara yang menggunakan vaksin berkenaan dan Malaysia juga tidak terkecuali.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan mereka bagi membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka dan selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat jelata yang layak.

“Inisiatif ini akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah, katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Kerajaan melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperoleh vaksin dengan kadar segera dan perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun.”

Masidi yang juga jurucakap negeri Covid-19 berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

Katanya, sehingga semalam 42% penduduk negeri Sabah telah memperolehi satu dos dan 18.4% penduduk melengkapi dua dos.

“Kabinet negeri mengambil maklum bahawa pencapaian pemberian vaksin di setiap daerah adalah berbeza-beza.

“Sebagai contoh di daerah Beaufort 50.7% penduduk telah melengkapi pengambilan dua dos vaksin, tetapi ada juga beberapa daerah di mana pencapaian mereka kurang daripada 12%. Kabinet telah mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini seterusnya mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya.

“Pengerusi CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19) di setiap daerah telah diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang telah ditetapkan dan ini penting agar pencapaian imunisasi negeri Sabah tidak terjejas dengan kegagalan beberapa daerah mencapai ‘target’ pemberian dos dalam setiap hari,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah adalah mencukupi.

Katanya, mengikut perancangan JKNS dan makluman daripada CITF Kebangsaan, Sabah akan menerima 1.5 juta dos vaksin pada bulan Ogos ini, yang sudah mula diterima sejak minggu lalu. – FMT

5 Comments


Roti banggali | 3 hours ago
Permudahkan dan perbanyakan tempat2 pengambilan baksin Dato, jangan menyusahkan rakyat..rakyat kita bukan anti baksin, tp itulah mereka mkin teda masa atau kewangan yg cukup uyk pergi ketempat yg jauh dri rumah mereka
Sudin atom | 3 hours ago
Terbaik Datuk..percepatkan pemberian baksin. Jangan tunggu dri kerajaan malaya, kerajaan negeri mempunyai kewangan yang cukup, apalh salahnya kerajaan negeri mengutamakan rakyatnya sendiri, nk harapkan kerajaan Pusat entah bila !
Hanapi | 3 hours ago
Harus dusegerakan jika itu adalah keperluan..jangan tangguh lg..rakyat dh tak tahan berapa lama nk kena tunggu..ada yang Dos pertama pun masih blm dpt..
Nana bana | 3 hours ago
Kalau kerajaan Negeri ada keupayaan utk membeli sendiri vaksin apa salahnya, teruskanlh benda yang baik untuk rakyat kami tetap sokong
Salleh gendut | 3 hours ago
Mana KJ kata vaksin yg diorder oleh kerajaan mencukupi... Sembang kari kah KJ.