Sembelihan babi dengan "Bismillah" dan isteri tidak bertudung: Perbandingan Dr Mahathir hodoh sangat- Dr Ridhuan Tee
18:01 Jan 30, 2018  |  By SabahKini2
Sembelihan babi dengan

Saya merayu dan memohon kepada Tun, supaya elakkanlah membuat perbandingan yang sedemikian ekstrem.

YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, maafkan saya jika artikel ini menyinggung Tun. Saya sangat menghormati Tun, apatah lagi Tun adalah ketua saya dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), selaku Yang Di-Pertua (YDP), manakala saya adalah salah seorang Naib YDP.

Paling kurang, kita akan bertemu lima kali dalam setahun untuk bermesyuarat. Saya akan duduk bersebelahan dengan Tun. Saya sedar, saya bukan siapa-siapa berbanding Tun. Tetapi izinkan saya bercakap sedikit pandangan mengenai artikel berkaitan sembelihan babi dengan nama Tahun.

Memang tidak akan berlaku atau tidak pernah berlaku, ada orang Islam akan menyembelih babi, apatah lagi menggunakan nama Tuhan atau membaca Bismillah. Usahkan sembelih, pegang pun tidak tergamak, apatah lagi menternak.

Ketika Tun mempengerusikan mesyuarat Perkim, sudah menjadi kebiasaan Tun akan memulakannya dengan ucapan aluan. Ada kalanya kami sebagai ahli mesyuarat ingin menegurkan beberapa perkara berkaitan dengan Islam yang dilontarkan, tetapi kami diamkan sahaja kerana kami amat menghormati Tun.

Misalnya, dalam mesyuarat Perkim yang lalu Tun ada berkata, kenapa Tun tidak benarkan isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) tidak memakai tudung. Tun merujuk kepada surah An-Nisa bahawa wanita yang berumur (tua) tidak perlu memakai tudung atau menutup aurat.

Sebagai mualaf, jawapan yang Tun lontarkan itu menimbulkan tanda tanya, tetapi kami diamkan sahaja. Tertanya-tanya pula, kenapa ketika Tun Dr Siti Hasmah masih muda, tidak ditudungkan? Tun mungkin boleh bertanya kepada mufti yang agak terbuka seperti Mufti Perlis atau bekas Mufti Perlis untuk bertanyakan mengenai perkara tersebut. Mungkin saya sebagai mualaf tidak layak untuk menjawab.

Jika begitu keadaannya, tidak perlu orang tua menutup aurat (memakai telekung atau tudung) ketika solat atau mengerjakan umrah dan haji, atas alasan sudah tua. Saya tidak tahu bagaimana Tun menafsirkan ayat ini. Mungkin Tun boleh bertanya kepada Wan Azizah, ketua PKR, bertanya kenapa beliau masih bertudung sedangkan beliau sudah tua. Mungkin suami Wan Azizah, saudara Anwar Ibrahim ada jawapannya.

Perbandingan menyembelih babi dengan bacaan bismillah, dan membandingkan duit haram yang dicuri (1MDB), bagi mengerjakan umrah dan haji, saya fikir agak keterlaluan dan ekstrem atau tidak sepatutnya dilakukan kerana melibatkan dua isu berlainan.

Kes 1MDB sehingga kini tiada negara yang berani membawa ke Mahkamah Antarabangsa. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sendiri menafikan. Begitu juga kerajaan Arab Saudi. Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan 1MDB dan diakui oleh YAB Perdana Menteri. Tetapi janganlah melebih-lebihkan cerita.

Kebimbangan saya jika kes 1MDB ada unsur tokok tambah sehingga menjadi fitnah dan rekayasa cerita semata-mata untuk menjatuhkan kepimpinan negara sedia ada. Maka dosanya lebih berat daripada memakan daging babi yang disembelih. Dalam dunia hari ini pelbagai cara mampu dilakukan untuk membenarkan rekayasa cerita seperti 1MDB.

Kalau dilihat fakta kes 1MDB sama seperti kes tuduhan kerajaan pimpinan Saddam Hussin menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) bagi membenarkan kerajaan pimpinan AS melakukan penjajahan ke atas negara tersebut. Mungkin Tun sudah lupa kisah tersebut yang berlaku tahun 1990-an. Lihat apa yang berlaku ke atas Iraq hari ini.

Kita tidak mahu negara yang pernah dibina Tun suatu masa dulu dimusnahkan angkara kes 1MDB yang sudah diakui sebagai satu kesilapan dan saya sendiri tidak pasti kesahihan penghujungnya. Insya-Allah, jika ada kesedaran yang tinggi, tidak mustahil berakhir dengan baik. Justeru, muhasabahlah Tun. Lihatlah masa akan datang dengan hati yang terbuka.

Jasa yang Tun tinggalkan memang tidak dapat dilupakan oleh generasi saya yang pada waktu itu masih belajar di universiti.

Tidak ada masalah untuk Tun memberi pandangan dan mengkritik kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Orang seperti Tun perlu ada supaya berlakunya ‘check and balance’. Tidak semua yang dilakukan oleh pimpinan hari ini semuanya baik.

Saya mohon, jangan dibuat perbandingan babi sembelih menggunakan kalimah Allah dengan duit curi. Cukuplah babi dengan duit curi. Tidak perlulah ditambah dengan sembelihan babi dengan kalimah Bismillah. Hodoh sangat rupanya.

Sama juga isu jika orang bukan Islam memberi sedekah kepada fakir miskin untuk menunaikan umrah atau haji. Boleh atau tidak? Perlukah kita bertanya kepada bukan Islam tersebut, wang diberikan itu haram ke tidak. Wang hasil jual beli babi atau bukan?

Babi tersebut disembelih guna nama Tuhan ke tidak? Tidak perlulah dikaitkan dengan nama Tuhan, semua orang tahu, babi tidak disembelih kerana sifatnya sedemikian. Apatah nak dikaitkan dengan sembelihan dengan nama Tuhan dan orang Islam

Pada saya, penerima itu tidak bersalah dalam menerima wang tersebut berbanding dengan pemberi atau mereka yang bersedekah. Sepatutnya pemberi yang berasa bersalah atau berdosa sama ada wajar atau tidak tindakan tersebut dilakukan.

Saya fikir perbandingan ini agak keterlaluan. Pertama, babi adalah binatang yang haram dimakan dan diternak oleh umat Islam, meskipun kita perlu menghormati babi sebagai makhluk ciptaan AllahSWT. Jadi, membaca nama Tuhan ketika sembelih babi sukar untuk diterima.

Kedua, babi adalah binatang yang sukar disembelih kerana tidak mempunyai tengkuk. Jika adapun tengkuk, ia terlalu pendek. Sebab itu penyembelihan babi dilakukan oleh penternak dengan cara menyucuk lehernya. Mungkin sebab itu juga babi diharamkan makan.

Ketiga, saya memang tidak nafikan haramnya babi. Jika dibanding dengan haramnya rasuah, rasuah lebih berat haramnya. Dalam maksud, makan rasuah lebih hina daripada makan babi. Begitu juga perbuatan mencuri wang rakyat lebih haram daripada makan babi.

Jika tidak ada pilihan antara keduanya, saya lebih rela makan babi. Apapun, saya tidak pernah mendengar mereka yang menyembelih babi, makan rasuah, mencuri wang rakyat, dan bermain judi memulakan dengan kalimah Bismillah.

Keempat, saya tidak fikir ada halangan untuk orang bukan aliran agama bercakap soal agama. Saya pun bukan aliran agama. Tetapi saya masih boleh bercakap. Tiada siapa menghalang selagi apa yang saya cakapkan masih dalam ruang lingkup kefahaman agama.

Tetapi perlu diingat, ilmu ini sangat luas. Perlukan kepada pengkhususan. Berbanding dengan orang agama, sudah tentu kefahaman mereka lebih lagi daripada kita sebab mereka mengkhusus. Sama juga seperti Tun, seorang yang berilmu dalam bidang perubatan.

Saya sangat menghormatinya kerana itu adalah kepakaran Tun. Dalam maksud, bidang ilmu ini ada kepakaran. Selaku ahli akademik, saya amat menghormati.

Begitu juga bidang agama Islam. Keperluan kepada pengkhususan amat diperlukan, seperti ilmu tauhid, akidah, syariah, usuludin, termasuk juga ilmu-ilmu moden seperti kenderaan bermotor. Semua perlukan kepada kepakaran, hormati lah kepakaran tersebut.

Keempat, soal berserban dan berjubah hari ini orang bukan agama pun juga ada memakainya. Tidak kurang juga orang agama yang tidak berserban dan berjubah. Ikut cita rasa masing-masing. Pokoknya kita jangan memandang rendah atau mempunyai persepsi buruk terhadap cita rasa mereka. Biarkanlah selagi tidak menghalang kualiti dan produktiviti.

Saya tidak fikir kita dinasihat supaya dengar sahajalah ajaran dan syarahan yang disampaikan oleh orang yang layak, iaitu orang agama yang terlatih dan berpelajaran agama walaupun setakat pondok di kampung. Orang agama pun pada masa kini tidak mahu memandai-mandai dalam perkara di luar bidangnya, terutama dalam bidang teknikal.

Masyarakat hari ini jauh lebih baik kefahaman Islamnya, pemahaman fundamental mereka tinggi.

Saya tidak tahu apa yang berlaku sewaktu proses pemakaman jenazah Almarhum Tunku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang telah mangkat pada 30 April 1934, ketika ayahandanya masih lagi bergelar Sultan, yang dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Menurut Tun, jenazah dimuat di atas sebuah kereta yang ditarik dengan dua tali oleh beberapa orang atas alasan haram memuat jenazah di atas kereta bermotor. Sebabnya ialah kerana motor adalah buatan orang kafir.

Saya tidak pasti sama ada benar atau tidak pemahaman seperti itu. Mungkin kerabat diraja tersebut boleh tampil menjelaskan akan kesahihannya. Jika pun berlaku, mungkin pada zaman dan ketika itu. Tetapi saya yakin, tidak ada lagi pemahaman seperti itu pada masa kini.

Setelah saya kira, maknanya ketika itu Tun masih berusia 9 tahun, darjah tiga lah kalau ikut masa kini. Apakah ketika itu, Tun benar-benar dapat memahami situasi pemakaman yang berlaku atau sekadar mendengar cerita orang. Cerita seperti ini amat menggusarkan saya akan tujuan cerita ini dibangkitkan.

Jika Tun masih ragu, sila rujuk Mufti Perlis, bolehkah kanak-kanak usia 9 tahun diterima kata-katanya. Mereka yang berkata ketika itu yang mungkin didengari Tun ketika usia 9 tahun bolehkah dipercayai autoriti ilmunya.

Jika berlaku pun, saya tidak fikir kefahaman sedemikian masih wujud lagi pada hari ini. Jika ada mungkin jenazah selepas ini perlu menggunakan kereta Proton yang Tun sediakan dahulu. Itupun enjinnya menggunakan teknologi dari Jepun.

Akhirnya, saya mungkin celupar dan melanggari adat menegur budaya Melayu tetapi sudah sampai masanya kita bersangka baik kepada semua pakar yang ada. Saling memberi sumbangan antara satu sama lain. Saya merayu dan memohon kepada Tun, supaya elakkanlah membuat perbandingan yang sedemikian ekstrem.

Rakyat marhaen termasuk saya amat menghormati Tun sebagai negarawan dan juga sebagai pemimpin PERKIM. Saya bimbang sekiranya Tun terus memberikan pandangan sedemikian, kepercayaan dan keyakinan mereka semakin pudar.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

21 Comments